Anwar beri bayangan pertahan Port Dickson? - Utusan Malaysia

Anwar beri bayangan pertahan Port Dickson?

ANWAR Ibrahim menyampaikan sumbangan tablet komputer pada Majlis Perjumpaan Bersama Majlis Guru Besar Daerah Port Dickson dan Serahan Tablet Komputer Kepada Kakitangan Pejabat Pendidikan Daerah di Port Dickson hari ini.-UTUSAN/BADRUL HAFIZAN MAT ISA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim seolah-olah memberi bayangan akan kekal mempertahankan kerusi Parlimen Port Dickson dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) kelak.

Ketika ditanya pemberita mengenai perkara itu, Anwar mengakui semakin diterima penduduk Port Dickson berbanding ketika dia mula-mula menjadi wakil rakyat di kawasan tersebut pada 2018.

Tambah Anwar, isu ‘orang luar’ juga tidak lagi kedengaran yang sekali gus menunjukkan hubungannya dengan penduduk juga semakin baik.

“Saya tengok sambutan jauh lebih baik daripada dahulu, berbanding ketika saya bertanding dan sekarang, kemesraan (termasuk) di masjid dan surau, kemesraan itu sangat baik.

“Isu orang luar, sudah tak timbul lagi, ya ada kebenaran, orang takut kita jarang nak datang, tapi kini tidak lagi, lagipun Port Dickson dekat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Perjumpaan Bersama Majlis Guru Besar Daerah Port Dickson dan Serahan Tablet Komputer Kepada Kakitangan Pejabat Pendidikan Daerah serta Penyampaian Sumbangan Kepada Masjid dan Surau di Port Dickson di sini hari ini.

Anwar bagaimanapun menambah, terpulang kepada PKR untuk memutuskan sama ada beliau kekal bertanding di Port Dickson ataupun tidak.

“Terpulang kepada parti, kalau parti kata, Port Dickson, saya di Port Dickson la. Kita belum buat keputusan lagu, belum lagi di peringkat itu.

“Hati ini dia sangkut di mana berada, la ni sangkut di Port Dickson, senang, sudah kenal,” katanya.

Jelas Anwar, apa yang lebih penting, setiap ahli Parlimen perlu menjalankan tanggungjawab berkhidmat kepada penduduk di kawasan yang diwakilinya.

“Walaupun kita ada tanggungjawab besar yang lain, tetapi keadaan kawasan yang kita wakili itu harus kita jaga,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN