Ahmad Zahid: Pas runding Bersatu di luar kerangka MN - Utusan Malaysia

Ahmad Zahid: Pas runding Bersatu di luar kerangka MN

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGAN DATUK: Tindakan Pas mengadakan perbincangan dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengenai pengagihan kerusi untuk Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) adalah di luar kerangka Muafakat Nasional (MN).

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, sebarang perbincangan yang dibuat di luar kerangka MN, beliau menganggap ia bukan perbincangan yang dipersetujui bersama dalam MN.

“Sebarang keputusan yang dibuat dalam MN harus diterjemahkan pelaksanaannya
dan jika ada sebarang perbincangan yang dibuat di luar kerangka MN, maka saya anggap ia bukan perbincangan yang dipersetujui bersama MN.

“Perbincangan di luar kerangka MN hanya diketahui oleh mereka yang terlibat sahaja,” katanya kepada Mingguan Malaysia selepas meninjau pembinaan masjid terapung di sini semalam.

Sementara itu, Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk mengulangi pendirian parti yang terbuka untuk berunding dengan mana-mana parti bagi membentuk kerajaan selepas PRU-15.

Beliau berkata, tidak mustahil parti di luar Barisan Nasional (BN) mahu menjalin kerjasama bagi membentuk kerajaan pasca pilihan raya umum.

Katanya, ini bagi memastikan kestabilan politik dan perkembangan ekonomi negara dapat dipacu semula.

“UMNO dan BN sedia menjalin kerjasama dengan mana-mana parti politik selepas PRU. Ketika itu sebarang bentuk kerjasama tidak perlu ada pihak yang mempertikaikannya kerana itu pasca PRU.

“Yang penting UMNO harus dominan semula bersama rakan-rakan dalam BN,” katanya.

Kata Ahmad Zahid, UMNO dan BN mahu memastikan kestabilan dan perkembangan ekonomi negara dapat dipacu semula selepas PRU-15 kerana rakyat sangat sengsara ketika ini.

“Rakyat mengharapkan mandat baru yang akan diberikan kepada pihak yang dapat membentuk kerajaan yang stabil. Ia adalah perancangan jangka panjang supaya rakyat dan negara tidak lagi menghadapi sebarang ketidakstabilan politik,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN