Prof. Kanan Datuk Dr. Khalid Yusoff meninggal dunia - Utusan Malaysia

Prof. Kanan Datuk Dr. Khalid Yusoff meninggal dunia

Allahyarham Khalid Yusoff
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Naib Canselor ketiga Universiti UCSI, Prof. Kanan Datuk Dr. Khalid Yusoff meninggal dunia pada usia 66 tahun, hari ini.

Allahyarham menghembuskan nafasnya yang terakhir di Hospital Pengajar Universiti Putra Malaysia (HPUPM), tengahari tadi.

Allahyarham meninggalkan isteri, Prof. Datin Paduka Dr. Khatijah Mohd. Yusoff.

Dalam satu kenyataan, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Kumpulan UCSI, Datuk Peter Ng. menyifatkan Allahyarham Khalid sebagai seorang yang tidak berehat dengan kejayaan.

“Hari ini, kita mengucapkan selamat tinggal kepada Allahyarham Khalid, naib canselor dan presiden Universiti UCSI. Saya, seperti yang lain di UCSI, sedih untuk mengucapkan selamat tinggal kepada rakan yang saya belajar banyak dengannya sebelum ini.

“Beliau telah memberi kesan mendalam terhadap pengalaman pelajar UCSI. Beliau sendiri menguruskan kerjasama dengan Harvard University yang memperkasakan pelajar perubatan kita dengan peluang mengikuti program penyelidikan berimpak tinggi di universiti terbaik dunia.

“Mari kita mengenang beliau atas semua yang beliau perjuangkan dan semoga kita mencontohi komitmen beliau dalam mencapai kecemerlangan serta fokus yang tidak goyah dalam mencipta dunia yang lebih baik. Semoga kita sentiasa mengingat beliau dalam apa juga yang kita lakukan,” katanya.

Allahyarham Khalid memainkan peranan penting dalam meningkatkan kedudukan universiti sejak beliau menerajui Universiti UCSI pada tahun 2013. Hasilnya, UCSI menerima pelbagai pengiktirafan akademik.

Di bawah kepimpinannya, UCSI muncul sebagai universiti swasta terbaik di Malaysia untuk dua tahun berturut-turut bagi QS World University Rankings 2019 dan 2020. Malah pencapaian bagi Penarafan Bersepadu Institusi Pengajian Tinggi Malaysia (Setara) 2018/2019, UCSI berjaya mencapai 5 bintang sebagai Universiti Matang (Mature University).

Sebagai tokoh berpengalaman dalam industri, beliau turut membawa UCSI ke persada dunia apabila berjaya mewujudkan kerjasama strategik dengan universiti dunia termasuk Harvard University.

Allahyarham mendapat latihan sebagai pakar kardiologi yang memulakan karier perubatannya sebagai pelajar di The University of Melbourne, Australia sebelum menjalani latihan di University of Newcastle-upon-Tyne, United Kingdom.

Sekembalinya ke Malaysia, beliau membina karier sebagai ahli akademik yang menyokong penyelidikan malah hasil penyelidikannya diterbitkan oleh jurnal antarabangsa berimpak tinggi.

Universiti merakamkan ucapan takziah atas kehilangan besar dalam akademik Malaysia. Moto beliau, “Go beyond; Be profound: Make a difference” akan terus subur pada kami di UCSI.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya