Zahid arah pengurup wang `cuci duit' daripada sumber - saksi - Utusan Malaysia

Zahid arah pengurup wang `cuci duit’ daripada sumber – saksi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengarahkan sebuah syarikat pengurup wang `mencuci duit’ yang diterima daripada sumber tertentu dengan cara menukar wang tunai kepada bentuk cek.

Mohd. Fahmee Mohamad Nor berkata, siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menunjukkan Marhaba Enterprise Sdn. Bhd. menerima arahan daripada Zahid untuk menukar wang RM7.5 juta kepada 35 keping cek atas nama Tetuan Lewis & Co.

Tetuan Lewis & Co. merupakan pemegang amanah kepada Yayasan Akalbudi yang mana bekas Timbalan Perdana Menteri itu adalah pemilik dan juga ahli lembaga pemegang amanahnya.

Pegawai penyiasat itu berkata, Omar Ali Abdullah (pemilik syarikat pengurup wang) ketika disiasat memaklumkan wang itu diterima daripada Yayasan Al Bukhary namun tidak mengetahui identiti individu yang menyerahkan wang tersebut.

Menurut Mohd. Fahmee, pihaknya tidak menjalankan siasatan mendalam terhadap Yayasan Al Bukhary mahupun merakam keterangan pengasasnya, Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary kerana Omar Ali ketika disoal siasat mengakui tidak mengenali Syed  Mokhtar.

Dalam prosiding itu, Mohd. Fahmee tidak menjawab beberapa soalan balas oleh peguam Datuk Ahmad Zaidi Zainal atas alasan perlu meneliti beberapa dokumen kerana siasatan kes itu sangat meluas melibatkan pegawai penyiasat yang berbeza dan cabang siasatan yang berlainan.

Peguam bela bertanyakan soalan mengapa beliau tidak merakam keterangan Syed Mokhtar sedangkan mengetahui Yayasan Al Bukhary ada menyerahkan wang tunai tersebut serta merupakan organisasi yang sangat besar dan terkenal di negara ini malah lebih kaya daripada Yayasan Akalbudi.

Semalam, pegawai penyiasat SPRM itu memberitahu, Zahid menggunakan syarikat itu wang untuk menukar wang tunai daripada pelbagai pihak dalam bentuk cek bertujuan mengaburi transaksi wang yang tidak diketahui sumbernya.

Saksi pendakwaan ke-95 itu berkata demikian pada hari ke-49 perbicaraan kes bekas Timbalan Perdana Menteri yang menghadapi pertuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram, melibatkan jutaan ringgit dana Yayasan Akalbudi.

Mengikut pertuduhan ke-27 bagi kes pengubahan wang haram, Zahid didakwa mengarahkan Omar Ali mengubah bagi pihak dirinya wang tunai berjumlah RM7,511,250.20 membabitkan 35 keping cek yang kemudian diserahkan kepada Lewis & Co bagi membeli simpanant Tetap di Maybank yang merupakan hasil aktiviti haram.

 Perbicaraan berlangsung di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung esok. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya