Warga asing kuasai ladang sayur di utara tanah air - Utusan Malaysia

Warga asing kuasai ladang sayur di utara tanah air

Kebun sayur kacang panjang ini diusahakan oleh warga asing di Balik Pulau, Pulau Pinang. - UTUSAN/ MOHAMMAD FIRDAUS AMRAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Warga asing terutama Bangladesh dan Indonesia semakin berani ‘melanggar’ sektor selain daripada yang dibenarkan mereka bekerja di negara ini termasuk mulai menguasai ladang-ladang sayur khususnya di utara tanah air.

Jika dulu mengambil upah tetapi kini mereka meneroka tanah ladang milik penduduk tempatan selain menjadi tauke kebun sayur-sayuran.

Malah mereka juga menjual sayur-sayuran di pasar tempatan dengan harga yang lebih murah.

Paling ketara, keadaan itu berlaku di kawasan Balik Pulau, Pulau Pinang dan di Kulim dan Sungai Petani di Kedah.

Mengapa mereka mudah menjadi pengusaha? Ini disebabkan mereka menggunakan konsep ‘Alibaba’ yang turut menguntungkan pemilik tanah yang juga warga tempatan yang mahu untung yang cepat tanpa perlu berpenat lelah.

Namun, konsep ini boleh memakan diri apabila semakin luas kawasan pertanian yang akan didominasi warga asing yang sudah tentunya para pekerja terdiri daripada kalangan mereka.

Di Pulau Pinang, warga asing terutamanya dari Bangladesh berpendapat, mengusahakan tanaman sayur-sayuran lebih berbaloi daripada bekerja makan gaji sebagai buruh binaan atau pekerja kontrak.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, tanah pertanian yang diusahakan beberapa warga Bangladesh berkenaan ditanam dengan pelbagai hasil tanaman hijau yang segar.

Antara sayuran yang ditanam adalah bayam hijau dan merah, timun, kacang panjang, kangkung, sawi, peria, kubis, petola serta bendi.

Bukan setakat itu, susunan tanaman juga dikelaskan mengikut jenis sayur-sayuran dengan deretan batas yang tersusun kemas serta selari.

Penguasaan warga asing itu turut didedahkan oleh Pengerusi Badan Bertindak Petani Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada), Che Ani Mat Zain.

Sebelum ini, katanya, golongan berkenaan didapati mengusahakan kebun sayur di tanah milik kerajaan dan tanah penduduk tempatan.

Malah, beliau memberitahu, sebahagian daripada mereka juga menanam sayur di bawah talian elektrik voltan tinggi.

Difahamkan sebelum ini kira-kira 50 warga Bangladesh di sekitar negeri ini yang mengusahakan kebun sayur tetapi di kawasan yang tidak begitu luas.

Mereka menanam sayur untuk dijual kepada beberapa pemborong dan mendapat hasil yang lumayan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN