PUTRAJAYA: Vaksin Covid-19 AstraZeneca disahkan selamat digunakan di negara ini., kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba.
Beliau berkata, syarikat AstraZeneca Sdn. Bhd. mengadakan satu perjumpaan dengan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) pada 17 Mac lalu untuk menjelaskan situasi sebenar berkenaan isu keselamatan vaksin berkenaan terutamanya berkaitan dengan kesan sampingan penggumpalan darah (thromboembolic events).
Kata beliau, menurut pihak syarikat, setakat 8 Mac lalu, sebanyak 17 juta orang awam telah menerima vaksin Covid-19 AstraZeneca di sekitar Kesatuan Eropah (EU) dan United Kingdom (UK).
Beliau berkata, daripada kalangan penerima vaksin itu, terdapat 15 kes deep vein thrombosis (DVT) dan 22 kes pulmonary embolism telah dilaporkan.
“Penilaian terperinci daripada semua kes ini dibuat oleh pihak syarikat dan telah dirumuskan bahawa tiada sebarang bukti kukuh yang dapat mengaitkan vaksin Covid-19 AstraZeneca ke atas risiko berlakunya kes-kes thromboembolic event tersebut.
“Jumlah kes thromboembolic event yang dilaporkan juga adalah jauh lebih rendah berbanding dengan purata kes yang dijangka berlaku dalam saiz populasi tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Adham berkata, kesimpulan itu juga telah disokong oleh pihak Agensi Perubatan Eropah (EMA) sekali gus merumuskan vaksin itu adalah selamat digunakan.
Vaccine AstraZeneca Solution for Injection (MAL21036009ACZ) daripada pemegang pendaftaran AstraZeneca Sdn. Bhd. itu telah didaftarkan oleh Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) pada 2 Mac lalu.
Adham berkata, data keselamatan vaksin tersebut yang diperoleh daripada kajian klinikal setakat 4 November tahun lalu melibatkan lebih kurang 12,000 sukarelawan juga menunjukkan tiada kesan sampingan teruk dilaporkan.
Katanya, kesan sampingan yang sering dilaporkan adalah sakit pada tempat suntikan, keletihan dan pening kepala serta dilaporkan sebagai sederhana atau ringan.
“Data juga menunjukkan kesan sampingan ini dilaporkan berkurang pada suntikan dos kedua berbanding dos pertama.
“Kajian klinikal tersebut juga merumuskan bahawa tiada sebarang isu keselamatan berkenaan kesan ke atas profil dan kandungan darah (termasuk penggumpalan darah) setelah menerima suntikan vaksin ini,” katanya.
Pada masa sama, Adham berkata, Kementerian Kesihatan sentiasa komited dalam menjalankan pemantauan secara berterusan bagi memastikan kualiti, keselamatan dan keberkesanan vaksin Covid-19 sentiasa terjamin.
Jelasnya, pelaporan kesan advers susulan imunisasi vaksin Covid-19 boleh dilakukan melalui anggota kesihatan, pelaporan terus kepada NPRA laman sesawang, www.npra.gov.my atau melalui aplikasi MySejahtera bagi kesan advers ringan. – UTUSAN ONLINE










