UMNO tolak kerjasama Bersatu langkah strategik - Utusan Malaysia

UMNO tolak kerjasama Bersatu langkah strategik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR GUDANG: Keputusan UMNO untuk tidak bekerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) akan datang disifatkan sebagai satu langkah strategik.

Ketua Pemuda UMNO Pasir Gudang, Noor Azleen Ambros berkata, keputusan yang dibuat itu sudah tentu dilaksanakan dengan mengambil kira pandangan semua peringkat parti.

“Keputusan ini juga pastinya dibuat setelah dikaji kesan serta implikasi politiknya daripada semua aspek kepada UMNO sendiri.

“Menang atau kalah dalam PRU-15, tanggungjawab tersebut kini terletak di bahu kita, khususnya pimpinan, ahli dan penyokong parti,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Rabu lalu, UMNO menghantar surat kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung keputusan Majlis Tertinggi (MT) parti itu untuk menamatkan kerjasama dengan Bersatu dan Perikatan Nasional (PN) menjelang PRU-15.

Noor Azleen berkata, sama ada UMNO kalah atau menang dalam PRU-15 tanpa Bersatu, parti itu tiada pilihan lain selain perlu fokus dan bersungguh-sungguh untuk terus membina kekuatan parti.

Katanya, ini termasuk mengangkat nama baik parti dan memainkan peranan untuk mengharumkan nama UMNO atas apa jua platform dan kesempatan yang ada.

“Perlu juga ada kepastian dan penjelasan mengenai figura utama yang akan diketengahkan parti sebagai sebuah bentuk tawaran kepemimpinan buat pertimbangan rakyat. Keputusan MT kedua-dua parti akan memberi satu penjelasan dan pencerahan tentang hala tuju masing-masing untuk berdepan PRU-15.

“Bagi UMNO, kini jelas dan nyata bahawa parti itu dan Barisan Nasional (BN) kekal dengan prinsip serta tradisinya untuk terus bertanding atas logo, bendera dan tiket BN pada PRU-15,” tegasnya.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya