UMNO sedia kerjasama tanpa cairkan prinsip - Asyraf Wajdi - Utusan Malaysia

UMNO sedia kerjasama tanpa cairkan prinsip – Asyraf Wajdi

ASYRAF Wajdi Dusuki menyampaikan ucapan dasar pada Perhimpunan Agung Pemuda UMNO 2020 di PWTC, Kuala Lumpur, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki menyifatkan salah satu resepi kemenangan untuk memenangi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) adalah menjalin kerjasama tanpa mencairkan prinsip.

Ketika menyampaikan ucapan dasar sempena Perhimpunan Agung Pemuda UMNO di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (PWTC) di sini hari ini, beliau berkata, UMNO adalah parti yang sangat terbuka dan bersedia bekerjasama dengan sesiapa sahaja demi rakyat dan
negara.

“Tetapi bukan dengan cara menggadai maruah, mencairkan wadah dan membiarkan diri diinjak-injak muka kepalanya.

“UMNO adalah parti yang mendokong penyatuan demi ummah, tetapi bukan dengan cara menghalalkan khianat dan merelakan parti terus-menerus dicurangi dan diperkotak-katikkan semahunya,” katanya.

Beliau sempat menyindir sebuah parti yang dianggapnya tidak jujur dalam menjalinkan hubungan dengan UMNO.

“Kita juga sedar ada parti yang ditubuhkan untuk menggantikan kita, sengaja membentuk perikatan baharu, untuk menyisihkan barisan kita. Depan manis, belakang bak ‘telunjuk lurus kelengkeng berkait’. Bercakap soal kejujuran tapi sebenarnya dialah khianat.

“Bercakap soal bersih dan berintegriti tapi cakap tak serupa bikin. Bercakap soal perpaduan tapi dialah yang mencatur pemecahan, inilah yangdikatakan orang tua-tua bijaksana, kayu bengkok, masakan lurus bayangannya,” katanya.

Justeru, beliau menyeru UMNO supaya tidak mudah tertipu dan mesti kenal kawan dan lawan.

“Siapa yang boleh dijadikan kawan tapi tidak makan kawan. Siapa yang sebenarnya lawan walaupun sudah berkawan. Yang penting UMNO jangan hilang arah dan mesti tegas, berani buat pendirian ‘bak menikam biar tembus, memancung biar putus, menggantung biar tinggi’,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN