PUTRAJAYA: UMNO perlu mengenal pasti siapa pemimpin yang berbincang dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai kerjasama parti itu dengan PKR-Pakatan Harapan (PH).
Pensyarah Kanan Kolej Undang-Undang Pengajian Kerajaan dan Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr. Kamarul Zaman Yusoff berkata, pemimpin tersebut perlu segera dipanggil memberi penjelasan kepada Majlis Tertinggi dan Lembaga Disiplin kerana melanggar dasar parti serta mencemarkan nama parti selain menimbulkan kekeliruan kepada ahli.
Ini kerana, kata beliau, memang menjadi persoalan yang masih menjadi misteri kepada semua, siapakah dalang yang berbincang bagi pihak UMNO dengan Presiden PKR itu untuk kerjasama dalam gabungan pembangkang berkenaan.
“Semua pihak semakin bingung setelah Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan; Ketua Penerangan, Shahril Hamdan Suffian dan Ketua Pemuda, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki yang menegaskan tidak tahu menahu mengenainya selepas Anwar mengaku berbincang dengan UMNO.
“Justeru, UMNO harus mengenal pasti identiti pemimpin ini dan tampil mendedahkan kepada semua siapa yang berbincang dengan Anwar dan mengapa ia berlaku,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam wawancara bersama Mingguan Malaysia pada Ahad lalu, Anwar mengakui wujudnya perbincangan dengan UMNO untuk bekerjasama pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Anwar turut memberi jaminan akan membuat penjelasan kepada anggota PKR untuk mengelakkan masalah yang mungkin timbul dalam rancangan kerjasama dengan UMNO.
Beliau berharap anggota parti lebih taksub kepada idealisme dan bukannya kepada parti semata-mata untuk memastikan kerjasama itu berjaya.
Menurut Kamarul Zaman, secara jelas, tindakan pemimpin sedemikian melanggar dasar parti yang dipersetujui sejak sekian lama, iaitu ‘No Anwar, No DAP’ sekali gus membolehkan tindakan disiplin diambil ke atasnya.
Katanya, ia berikutan perbincangan sembunyi itu tanpa mandat atas isu yang dilarang berbincang.
“UMNO perlu mengambil tindakan tegas dengan menghukum pemimpin sebegini yang boleh merosakkan parti kerana mengambil tindakan yang tidak sejajar,” katanya. – UTUSAN ONLINE