UMNO galas tanggungjawab besar luruskan jalur politik negara - Noraini - Utusan Malaysia

UMNO galas tanggungjawab besar luruskan jalur politik negara – Noraini

NORAINI Ahmad menyampaikan ucapan dasar pada Perhimpunan Agung UMNO Wanita UMNO 2020 di PWTC, Kuala Lumpur, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pergerakan Wanita UMNO menegaskan, parti itu mempunyai tanggungjawab besar untuk meluruskan kembali jalur politik negara.

Ketuanya, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berkata, untuk menjadikannya kenyataan, UMNO harus komited memikirkan kelangsungan atau survival parti demi mempertahankan agenda Melayu Islam di negara ini.

“Jalur politik ini penting, kerana kita bukanlah pengkhianat. UMNO tewas tetapi kita gunakan ruang itu untuk bangkit kembali diterima rakyat. UMNO tewas, tetapi komponen Barisan Nasional (BN) dan Friends of BN tetap setia.

“UMNO tewas tetapi hubungan bersama Pas yang dahulunya tidak sehaluan kembali pulih setelah penyatuan ummah digerakkan. Tetapi UMNO tidak pernah terkubur, apatah lagi dikatakan lemah sehingga dilihat boleh diperguna serta diperkotak-katikkan sesuka hati.

“Jalur ini umpama benang yang basah. Bukan mudah untuk dilentur lurus. But impossible is nothing (Tiada apa yang mustahil). Kalau kita cekal berusaha, jalur politik ini akan kembali kepada asasnya,” katanya dalam ucapan dasar Perhimpunan Agung Wanita UMNO 2020 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini semalam.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Parit Sulong menegaskan, Wanita UMNO mahukan kepimpinan parti untuk terus tegas dalam memastikan parti ini kembali memimpin.

“Bukan kerana kuasa, bukan kerana kerusi. Tetapi, parti keramat ini perlu mendominasi untuk kesejahteraan rakyat, yang sekian lama telah terbukti.

“Jangan sesekali benarkan kerusi yang dimenangi dengan penat jerih wanita dan jentera parti diberikan lagi kepada pengkhianat yang telah lompat parti!,” tegasnya.

Beliau mewakili sayap wanita turut menzahirkan sokongan terhadap keputusan Majlis Tertinggi untuk tidak menjalinkan kerjasama dengan PKR, DAP mahupun Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Katanya, UMNO hanya akan menerima dan bekerjasama dengan mereka yang boleh menerima falsafah dan perjuangan parti keramat ini.

“Saya ingin tegaskan di sini bahawa Wanita UMNO menyokong keputusan Majlis Tertinggi yang NO DAP! NO PKR! dan tarik sokongan terhadap Bersatu sebaik sahaja paluan gendang pilihan raya bermula.

“Kita bersetuju UMNO dan Bersatu sukar untuk tidur sebantal kerana kita punya mimpi yang berbeza. UMNO dan Bersatu banyak bertembung dari segi kepentingan, atas sebab itulah kita sukar untuk mengadakan kerjasama dalam PRU.

“Walaupun keputusan ini memberikan pelbagai implikasi politik kepada orang Melayu, namun Wanita UMNO akan terus bersama dengan keputusan yang telah dibuat oleh akar umbi dan kepimpinan parti,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN