fbpx

16 April 2021, 11:03 pm

  TERKINI

TNB rugi RM2.5 juta akibat sindiket lombong bitcoin

SHAFIEN Mamat (dua kiri) menunjukkan mesin melombong bitcoin yang dirampas di enam premis di Gua Musang. - UTUSAN/AIMUNI TUAN LAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Rugi RM2.5 juta.

Demikian dihadapi Tenaga Nasional Berhad (TNB) ekoran aktiviti mencuri elektrik bagi tujuan melombong bitcoin.

Kegiatan itu ditumpaskan polis pada 3 dan 4 Mac lalu selepas dikesan di tiga rumah kedai di Bandar Utama, di sini dan satu premis masing-masing di Bandar Baru, Wisma Sri Galas dan Taman Sri Cindai.

Operasi dilakukan sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman serta JSJK Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, sebelum itu TNB terlebih dahulu mengesan penggunaan elektrik yang tinggi di enam premis terbabit yang dipercayai beroperasi sejak setahun lalu.

Katanya, kegiatan itu kali pertama dikesan di negeri ini dengan modus operandi menyewa premis bangunan rumah kedai sebelum menyambung arus elektrik secara haram.

“Polis turut merampas 363 unit mesin melombong bitcoin di premis rumah kedai terbabit yang dianggarkan bernilai RM500,000. Dalam operasi sama, tiga suspek berusia 20-an ditangkap dan kesemuanya direman sehingga 9 Mac ini,” katanya dalam sidang akhbar di IPD Gua Musang di sini hari ini.

Shafien berkata, siasatan mendapati satu unit mesin melombong bitcoin itu mampu menjana nilai sebanyak RM300 sebulan.

Katanya, kegiatan mencuri elektrik oleh sindiket itu bukan sahaja mengakibatkan kerugian kepada TNB malah perlu ditanggung kerajaan manakala rakyat pula terjejas dari segi penggunaan arus elektrik.

“Saya menyeru orang ramai jika mempunyai maklumat berkaitan sindiket bitcoin boleh menyalurkan kepada pihak polis atau TNB,” katanya sambil memberitahu kes disiasat mengikut Seksyen 379 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

POPULAR

KOSMO! TERKINI