‘Tiga Abdul’ masuk sekolah hari ini - Utusan Malaysia

‘Tiga Abdul’ masuk sekolah hari ini

Abdul Razak Abdul Wahab (kiri) bersama isteri Susilawati Saharuddin (dua dari kanan) melayani tiga anak kembarnya Abdul Raqib (dua dari kiri), Abdul Raauf dan Abdul Rafik sebagai persediaan bermulanya sesi persekolahan di rumahnya di Kampung Melayu Raya, Pekan Nanas, Pontian, Johor, semalam. - UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PONTIAN: Kembar tiga beradik yang dikenali sebagai ‘Tiga Abdul’ teruja untuk memasuki alam persekolahan di darjah satu di Sekolah Kebangsaan (SK) Melayu Raya, Pekan Nanas di sini.

Keterujaan itu jelas terpancar di wajah Abdul Raqib, Abdul Raauf dan Abdul Rafik yang masing-masing berusia 7 tahun apabila tidak sabar mengenakan seragam sekolah dan berjumpa rakan baharu.

Menurut bapa mereka, Abdul Razak Abd. Wahab, 41, anak-anaknya tidak sabar untuk memulakan sesi pembelajaran setelah menunjukkan minat sejak sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) bulan lalu.

“Jika hendak diikutkan, risau juga keselamatan mereka yang memulakan persekolahan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksana.

“Sebagai persiapan, kami serta cikgu banyak memberi pendedahan dan mengajar mereka mengenai Covid-19 serta penjarakan fizikal. Kami juga akan membekalkan mereka dengan pelitup muka, cecair pembasmi kuman dan tisu pengelap sanitasi,” katanya di sini semalam.

Sementara itu ibu tiga beradik itu, Susilawati Sahruddin, 36, berkata, dia bimbang dengan keadaan Abdul Rafik yang menghidap penyakit ‘cerebral palsy’ yang menyebabkan pergerakannya agak terbatas berbanding dua abang kembarnya.

“Saya berpesan kepada Abdul Raqib dan Abdul Raauf untuk membantu adiknya dari segi pergerakan dan pembelajaran kerana dia juga tak boleh berdiri lama dan memerlukan bantuan.

“Saya berharap mereka dapat masuk kelas yang sama agar mereka membantu antara satu sama lain. Bagaimanapun, ia bergantung penilaian cikgu mereka, pasti keadaan di sekolah berbeza di rumah,” katanya.

Katanya, membesarkan tiga kembar iaitu anak keempat dari lapan beradik itu amat mencabar selain menelan belanja yang besar.

Jelasnya, mereka membelanjakan kira-kira RM1,500 bagi membeli keperluan pakaian sekolah, membiayai yuran sekolah dan sekolah agama, buku dan keperluan sekolah yang lain.

“Bagi menambah pendapatan keluarga, saya mengambil upah melipat dan menggosok baju penduduk setempat dengan upah melipat sebakul baju dengan bayaran RM5 hingga RM7 manakala upah menggosok baju antara RM1 hingga RM1.50 sepasang,” katanya.

Katanya, suami yang bekerja sebagai penolong pegawai tadbir Universiti Teknologi Malaysia (UTM) turut menjual nasi ayam bajet secara sambilan dengan RM4 sebungkus.

Selain kembar tiga itu, empat anak lain masih bersekolah di tingkatan tiga, tingkatan empat dan tingkatan lima serta seorang di tadika. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN