Tiada badai politik antara MN di Pahang - Utusan Malaysia

Tiada badai politik antara MN di Pahang

ROSLI ABDUL JABAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: “Apabila ombak politik di Terengganu sedang membadai, kami di Pahang tetap tenang, tiada sedikit pun alunan yang menjadi kesan dek pukulan badai yang sedang melanda di negeri jiran kami.

“Hubungan kami tetap utuh, Muafakat Nasional (MN) Pahang terus melangkah menjalin dan mengeratkan hubungan yang sedia ada,” kata Pesuruhjaya Pas Pahang, Rosli Abdul Jabar dalam kenyataannya hari ini.

Rosli berkata, hubungannya dengan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail selaku Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pahang dan semua rakan sama ada dari Pas dan UMNO terus terjalin baik.

Beliau berkata, program bersama terus berjalan dengan lancar termasuk peranan Pas sebagai sebahagian elemen yang membantu pentadbiran negeri.

“Kesan kestabilan hubungan ini menjadikan perjalanan pentadbiran di negeri ini begitu harmoni, tumpuan dapat diberikan sepenuhnya kepada urusan pentadbiran, ini dapat dilihat melalui percambahan ekonomi, dapatan kewangan negeri yang meningkat, pembayaran hutang, menjadikan Pahang sebagai negeri yang begitu komitmen membantu rakyat dalam pelbagai sudut secara konsisten.

“Mengambil kata-kata Almarhum Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat “yang banyak jangan kedekut dan yang sedikit jangan tamak”, Pas terus berbincang dengan baik terhadap apa jua perkara dan tetap diberikan pertimbangan seimbang oleh UMNO yang menjadi tunggak pemerintahan kerajaan negeri dan kami sama sekali akan bersikap tidak akan mengganggu perjalanan pentadbiran negeri meskipun tiada sebarang jawatan jika sekiranya perjalanan pentadbiran itu telahpun kelihatan baik.

“Kami bagi pihak Pas Pahang tetap konsisten dengan aspirasi Presiden dalam gagasannya terhadap agenda penyatuan ummah, matlamat utama kami adalah Islam, negeri dan rakyat Pahang keseluruhannya. Kestabilan politik amat penting dalam mentadbir sebuah negeri, kerana itu kami dari Paa Pahang sangat memelihara kestabilan dan keharmonian yang sedia ada demi kepentingan rakyat Pahang,” katanya.

Rosli berkata, rakyat ‘cemus’ dengan retorik politik yang bagaikan tiada kesudahan, carut marut yang membusukkan hanya akan melahirkan rakyat yang bencikan politik dan ahlinya, akhirnya hilangnya kesedaran tanggungjawap politik dalam kalangan rakyat, ini adalah senario yang akan membawa kepada kehancuran agenda perpadua ummah.

Beliau berkata, Pas Pahang tidak mahu negeri yang tercinta ini jatuh ke tangan perakus yang merobek Islam dan rakyatnya.

“Namun Pas tetap mendokong aspirasi “Pertahan MN Perkukuh PN”, kerana ia agenda mulia demi perpaduan ummah, memperkuat dan menambah majoriti, mengekalkan kuasa Melayu Islam.

“Di samping itu, ia tidak meminggirkan dan meraikan juga mentadbir secara adil masyarakat berbilang kaum dalam negara ini termasuk Pahang, namun senario politik di negeri ini perlu diambil kira, nilai keharmonian ini begitu mahal, utamakan sikap kasih sayang terhadap negeri dan rakyat, jangan pecahkannya.

“Terima kasih kepada kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri yang telah menyalurkan peruntukan untuk wakil rakyat Pas, semua ini adalah kesan dari agenda penyatuan ummah,” katanya.

Jelasnya, UMNO cukup majoriti untuk memerintah sendiri, namun Pas hadir sebagai penguatnya dan telah mengumpulkan kekuatan dua pertiga majoriti penyokong kerajaan, mereka berganding tangan untuk membina keharmonian serta kekuatan itu.

“Sikap MN Pahang yang sentiasa bertolenrasi antara sesama, menjadikan MN Pahang begitu stabil dan harmoni, sehingga kini badai di laut sebelah tidak menggoncangkan kapal kami di laut Pahang. Harap tiada yang melontar batu di air yang tenang ini. MN Pahang akan terus komitmen membangunkan negeri dan membantu rakyat berbilang kaum,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN