GEORGETOWN: Pengerusi DAP Pulau Pinang, Chow Kon Yeow menepati ramalan apabila menerima undian tertinggi dalam pemilihan Jawatankuasa DAP negeri bagi penggal 2021-2024 di sini hari ini dengan 1,211 undi.
Undian tertinggi itu sekali gus membolehkan Ketua Menteri berkenaan sekali lagi dilantik sebagai Pengerusi DAP Pulau Pinang iaitu jawatan yang dipegangnya sejak 1999.
Sementara itu, Timbalan Ketua Menteri II, Dr. P. Ramasamy yang berada pada kedudukan kesembilan dalam pemilihan kali ini dengan 826 undi dilantik sebagai Timbalan Pengerusi DAP negeri.
Dua jawatan Naib Pengerusi DAP negeri pula diisi masing-masing oleh Zairil Khir Johari yang merupakan satu-satunya calon Melayu dan Jagdeep Singh Deo yang sebelum ini merupakan Timbalan Pengerusi DAP negeri.
Pada pemilihan kali ini, Zairil berada pada kedudukan lima tertinggi apabila mendapat 920 undi manakala Jagdeep ke-15 dengan 655 undi.
Pada pemilihan bagi penggal 2018-2020 lalu, Zairil dan Ramasamy yang ketika itu merupakan Naib Pengerusi DAP tewas dalam pemilihan tersebut iaitu keputusan yang mengejutkan ramai pihak termasuk perwakilan.
Bagaimanapun, kedua-dua mereka dipilih semula mengaggotai Jawatankuasa DAP negeri dalam proses lantikan tambahan yang dibuat Jawatankuasa Tertinggi selepas pemilihan tersebut.
Dalam pada itu, Lim Hui Ying iaitu adik kepada Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berjaya menempatkan diri dalam jawatankuasa parti itu kali ini apabila mendapat 980 undi iaitu keempat tertinggi dan dilantik sebagai Setiausaha DAP negeri.
Pemilihan kali ini menyaksikan seramai 44 calon bertanding untuk merebut 15 Jawatankuasa DAP Pulau Pinang bagi penggal 2021-2024.
Sebanyak 1,608 perwakilan mengundi dalam proses yang berlangsung hampir dua jam dengan 1,552 kertas undi dikira sah manakala 56 undi rosak.
Sementara itu dalam ucapannya, Kon Yeow berharap barisan jawatankuasa baharu yang dipilih hari ini akan menjadi barisan kepimpinan yang kuat dalam menangani tiga krisis utama negara ketika ini iaitu krisis kesihatan awam, ekonomi dan politik.
Dalam masa sama, beliau percaya barisan jawatankuasa baharu itu akan merangka persiapan rapi bagi mendepani Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
“Saya menyeru semua ahli-ahli DAP negeri marilah sama-sama kita menghadapi cabaran ini sebagai satu pasukan kukuh demi rakyat, demi Pulau Pinang dan demi DAP,” katanya. – UTUSAN ONLINE










