Sejarah Malaysia ‘wajib’ diperbetulkan - Utusan Malaysia

Sejarah Malaysia ‘wajib’ diperbetulkan

Md.Salleh Yaapar
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penulisan semula sejarah perlu dilakukan supaya tidak timbul lagi fakta lain yang diselewengkan pada masa depan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Tokoh Pendidikan Sejarah Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Datuk Seri Md.Salleh Yaapar berkata, titah Yang di Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah mengenai sejarah yang perlu ditulis semula adalah tepat sekali kerana terlalu banyak fakta yang diselewengkan sejak zaman penjajahan Portugis hingga Belanda dan Inggeris.

“Malah, sekarang pun ada rakyat kita yang melakukan kejahatan yang sama,” katanya ketika dihubungi semalam.

Tambahnya, fakta terbaru yang diputar belit adalah apabila mereka mengagungkan komunis sambil mengetepikan pejuang nasionalis.

Semalam, Yang di Pertuan Agong bertitah, rakyat tidak boleh menganggap remeh terhadap sejarah kerana ia merupakan perkara penting sebagai asas membangunkan sesebuah tamadun manusia.

Tegas Md. Salleh, sejarawan serta pihak yang berwajib tidak seharusnya menyelewengkan sejarah Melayu.

Sementara itu, Felo Utama Institut Kajian Etnik (KITA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Datuk Dr. Teo Kok Seong turut menegaskan penulisan semula fakta sejarah adalah penting kerana ia merupakan sebahagian proses pembentukan negara bangsa.

“Malah ia bertujuan pembinaan jati diri golongan muda iaitu maruah negara terlalu bernilai untuk diperlekeh, apatah lagi dihina!,” tegasnya.

Menurutnya, tidak dinafikan banyak fakta sejarah tanah air sewaktu penjajahan British telah `diherotkan’ antaranya tentang pemberontakan terhadap British oleh anak watan etnik Melayu.

Tambahnya, gelaran “pemberontak” kepada Tok Bahaman, Mat Kilau, Tok Janggut, Mat Salleh dan Rosli Dhobi bukan sahaja tidak tepat hanya kerana mereka menentang British. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN