Rakyat mahu UMNO kembali berkuasa di Terengganu - Utusan Malaysia

Rakyat mahu UMNO kembali berkuasa di Terengganu

DIN ADAM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Rakyat Terengganu mengidamkan agar UMNO kembali memerintah negeri ini pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) yang dijangka diadakan dalam masa terdekat.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Din Adam berkata, rata-ratanya mulai sedar tiada perubahan signifikan yang dibawa Pas sepanjang mengambil-alih pentadbiran negeri hingga kini.

“Rakyat Terengganu sudah biasa didampingi oleh kerajaan negeri sebagaimana dilakukan UMNO dan Barisan Nasional (BN) dahulu, bahkan mereka memerlukan perhatian penuh daripada wakil-wakil rakyat.

“Tetapi kerajaan negeri yang dipimpin Pas pada hari ini tidak sebegitu dan rakyat sendiri dapat menilai mutu perkhidmatan mereka yang tidak mencapai kehendak masyarakat,” katanya di sini semalam.

Baru-baru ini, Utusan Malaysia melaporkan kenyataan Ketua Penerangan UMNO Terengganu, Datuk Nik Dir Nik Wan Ku yang parti itu mampu merampas semula pentadbiran negeri dengan memenangi sekurang-kurangnya 20 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan empat Parlimen.

Menurut Nik Dir, sasaran itu termasuk mempertahankan 10 kerusi yang disandang ketika ini.

Din turut mempersoalkan adakah kalangan wakil rakyat Pas benar-benar turun padang berkhidmat kepada masyarakat atau hanya menyerahkan tanggungjawab tersebut bagi diuruskan pegawai masing-masing.

Sehubungan itu, beliau meminta agar seluruh rakyat diberikan ruang dan peluang seluas-luasnya untuk memilih pemimpin masing-masing pada PRU-15 nanti.

“Dalam konteks pembangunan tiada perkara baharu yang dibuat kerajaan negeri, apatah lagi yang membabitkan perjuangan Islam kerana mereka hanya tahu mencari kesalahan orang lain.

“Jadi lebih baik kita serahkan mandat kepada rakyat untuk memilih kerana saya dapati mereka mengidamkan UMNO untuk kembali berkuasa di negeri ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN