PKPD di Kampung Serumah, Sarawak - Utusan Malaysia

PKPD di Kampung Serumah, Sarawak

ISMAIL SABRI YAAKOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Penduduk di Kampung Serumah, Daerah Kecil Siburan, Bahagian Serian, Sarawak dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula pada esok.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia ekoran laporan Kementerian Kesihatan yang mengesahkan ada berlaku penularan melibatkan lokaliti tersebut.

“Sehingga semalam, sebanyak 416 ujian saringan telah dijalankan dan daripada jumlah itu, 21 kes positif Covid-19 telah pun direkodkan,” kata beliau menerusi kenyataan akhbar hari ini.

Justeru ujarnya, setelah dibuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal, kerajaan bersetuju untuk melaksanakan PKPD di lokaliti ini sehingga 20 Mac depan.

Perintah selama tempoh dua minggu itu jelasnya, untuk memudahkan Kementerian Kesihatan melakukan saringan secara bersasar terus ke atas 580 orang penduduk di lokaliti berkenaan.

Perkampungan itu asalnya Daerah Kecil Padawan sebelum ditukar bersama 27 kampung lain ke daerah sedia ada pada 1 Oktober 2015 ekoran Serian dipisahkan daripada Bahagian Kuching.

Lokaliti ini terletak di Jalan Bra’ang Payang tidak jauh kawasan peranginan Air Terjun Sebarau dan Borneo Dayak Longhouse Resort serta jarak 50 kilometer dari pusat bandar raya Kuching.

Dalam pada itu, Ismail Sabri turut memaklumkan penamatan PKPD di asrama, kilang dan tapak binaan firma Central Medicare Sdn. Bhd. di Mukim Changkat Jong, Teluk Intan, Perak.

“Kementerian Kesihatan mengesahkan terdapat penurunan kes dan kluster adalah terkawal dengan semua pesakit positif telah menerima rawatan selain kontak rapat dipantau,” katanya.

Setakat hari ini jelas beliau, sebanyak 2,074 ujian saringan dilakukan dan daripada jumlah itu, secara kumulatif, sebanyak 1,650 kes positif sudah direkodkan pihak kementerian tersebut.

Sehubungan itu tambahnya, kerajaan bersetuju menamatkan PKPD di lokaliti berkenaan seperti yang dijadualkan pada esok setelah dikenakan selama 14 hari sejak 22 Februari lepas.

Terdapat 2,808 pekerja tempatan dan warga asing di lokaliti milik syarikat pengeluar sarung tangan perubatan dan industri ditubuhkan pada 2004 itu serta berpusat di Shah Alam, Selangor.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya