Penggunaan teknologi robotik di pasar awam diperluas - Utusan Malaysia

Penggunaan teknologi robotik di pasar awam diperluas

KHAIRY Jamaluddin meletakkan nama Badang Tambun di sebuah robot pada Pelancaran Aplikasi Robotik dan Kecerdasan Buatan di Pasar Ayam Amanjaya, Ipoh hari ini. - UTUSAN/ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Penggunaan teknologi robotik di pasar awam akan diperluaskan dengan Pasar Awam Seremban dan Pasar Taiping dipilih bagi mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja, bertepatan dengan keperluan masa hadapan.

Ia selepas melihat keberkesanan aplikasi robotik dan kecerdasan buatan (Al) di Pasar Ayam Amanjaya di sini sejak dimulakan pada November tahun lalu.

Projek kerjasama strategik antara Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) ini dimulakan sebagai projek rintis.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin berkata, aplikasi robotik dan Al di pasar awam bertepatan dengan keperluan terhadap perubahan cara hidup norma baharu akibat penularan Covid-19. 

Menurut beliau, inisiatif ini mengetengahkan produk hasil penyelidikan dan pembangunan (R&D) tempatan dengan memperkenalkan model ekonomi baharu berasaskan teknologi. 

“Penggunaan teknologi moden tempatan di fasiliti pasar juga dijangka dapat meningkatkan bilangan pekerja berkemahiran, produktiviti dan tahap kecekapan pengurusan logistik.

“Teknologi Al juga bagi membantu mengubah persepsi pasar yang sesak dan berisiko kepada penularan wabak Covid-19 kepada suasana yang moden, bersih dan selamat,” ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar semasa program Pelancaran Aplikasi Robotik dan Kecerdasan Buatan di Pasar Ayam Amanjaya di sini hari ini.

Hadir sama Menteri  Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Zuraida Kamaruddin dan Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin.

 Inisiatif ini diterajui Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi berdasarkan salah satu keputusan Mesyuarat Kumpulan Kerja 9 (Sains dan Teknologi) di bawah Jawatankuasa Strategik Pengurusan Pandemik yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri. 

Projek dibiayai oleh geran Sandbox Inovasi dan Teknologi Kebangsaan (NTIS) di bawah MOSTI yang merupakan salah satu inisiatif Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana).

Robot-robot ini menjalankan fungsi membersihkan lantai pasar, mengangkut ayam dari lori ke gerai penjaja, serta menguruskan sisa secara pintar. 

Sistem kawalan keselamatan Al yang dipasang melalui kamera litar tertutup (CCTV) pula boleh mengesan pergerakan yang mencurigakan dan menghantar amaran dalam waktu sebenar atau real time. 

Pada majlis itu juga, Khairy dan Zuraida diberikan penghormatan untuk menamakan robot-robot berkenaan mengikut jati diri Perak iaitu Badang Manjoi, Badang Tambun dan Badang Gopeng. 

Sementara itu, Zuraida memberitahu, kementeriannya kini sedang merangka Garis Panduan Pasar Sejahtera di kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) turut menitikberatkan penggunaan elemen teknologi dan inovasi.

Katanya, ia sebagai salah satu komponen sokongan utama dalam memastikan fasiliti pasar yang ditawarkan adalah kondusif kepada pengguna. 

“Untuk perancangan jangka panjang, unsur teknologi bukan sahaja berpotensi digunakan secara retrofit dalam pasar sedia ada, malah akan dimasukkan dalam pelan reka bentuk pasar baharu yang akan dibangunkan. 

“Teknologi-teknologi ini juga sedang diteliti kesesuaiannya untuk diperiuaskan di premis-premis awam lain seperti di stesen bas, kawasan perumahan, tapak pasar malam dan sebagainya,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.