Penempatan haram Bukit Malut bakal berubah wajah - Utusan Malaysia

Penempatan haram Bukit Malut bakal berubah wajah

DR. MAHATHIR Mohamad beramah mesra dengan pengunjung di Pantai Chenang, Langkawi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LANGKAWI: Kawasan penempatan haram warganegara Myanmar di Bukit Malut di sini bakal berubah wajah menjadi sebuah perkampungan baharu tersusun dan dilengkapi pelbagai kemudahan asas untuk keselesaan penduduk.

Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, tanah di kawasan itu akan disusun semula dengan menyediakan lot-lot baharu sebelum dijual kepada penduduk terlibat.

Bagaimanapun menurutnya, lot-lot baharu itu akan dijual dengan harga yang berpatutan dan penduduk terlibat boleh membina rumah dan premis perniagaan mereka sendiri.

Katanya, kawasan itu merupakan milik kerajaan negeri dan syarikat swasta.

“Mereka sanggup beli (tanah) itu dengan harga berpatutan. Jadi mereka boleh tinggal di sini (Bukit Malut) secara halal, bukan secara rampas harta orang.

“Tanah dah buat lot pun, dah ada dah. (Kawasan) baru ini kita kena buat lot. Kita kena tentukan jalan tersusun elok supaya dia tak berkecamuk, bila berkecamuk, nak bekal api dan air payah,” katanya kepada pemberita selepas melawat dan mengadakan pertemuan dengan penduduk di Bukit Malut di sini hari ini.

Utusan Malaysia pada 11 Mac lalu melaporkan warganegara Myanmar kebal sehinggakan sampai hari ini belum ada tindakan terhadap penempatan haram penduduk terlibat yang makin membarah di Bukit Malut di sini.

Lebih 10,000 warganegara Myanmar yang mendiami kawasan Bukit Malut berterusan menceroboh tanah kerajaan negeri hingga mencemar imej Langkawi sebagai destinasi pelancongan antarabangsa.

Dianggarkan kira-kira 2,500 buah rumah didirikan secara haram di penempatan yang sinonim dengan gelaran ‘Little Myanmar’ itu, yang turut mengancam ekologi alam sekitar khususnya kawasan paya bakau di pesisir pantai pulau legenda tersebut.

Dr. Mahathir yang juga bekas Perdana Menteri berkata, pada peringkat awal, jumlah penduduk menetap di kawasan tersebut tidak ramai seperti sekarang.

Bagaimanapun katanya, kawasan tersebut semakin padat apabila penduduk berkenaan berkeluarga dan mempunyai anak.

“Bertambah (penduduk) bukan orang baru tapi (mereka) berkahwin sini dan dapat anak serta membesar di sini sampai 40 tahun,” tambahnya.

Selain itu beliau memberitahu, kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini telah mempunyai perancangan mengenai penempatan semula penduduk di kawasan berkenaan.

Katanya, perancangan tersebut tidak dapat dilaksanakan kerana berlaku perubahan kerajaan dan peruntukan pembangunan di kawasan itu juga tidak diterima.

“Kita ada perancangan semasa kerajaan PH. Kita telah kenal pasti tempat mereka tinggal termasuk dalam laut pun kita nak buat secara teratur.

“Tetapi (selepas itu) ada pertukaran kerajaan dan bila ada pertukaran, duit (peruntukan) yang disediakan untuk Bukit Malut tidak sampai. Tapi kalau dapat duit, kita boleh buat apa yang kita janji,” katanya.

Pada masa sama, beliau juga akan mendapatkan maklumat daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengenai perancangan yang bakal dibangunkan di kawasan tersebut.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya