Penduduk resah Sungai Kuang tercemar najis haiwan - Utusan Malaysia

Penduduk resah Sungai Kuang tercemar najis haiwan

PENDUDUK menunjukkan Sungai Kuang yang tercemar akibat pencemaran najis haiwan Kampung Ulu Kuang, Chemor di Ipoh. -GAMBAR MEDIA SOSIAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Penduduk di Kampung Ulu Kuang, Chemor di sini resah berikutan Sungai Kuang yang menjadi sumber kegunaan harian mereka kini tercemar akibat pencemaran najis haiwan.

Rata-rata mereka mendakwa, sungai tersebut telah lama tercemar dengan aduan disalurkan kepada pihak berkuasa namun tiada tindakan diambil sehingga kini.

Penduduk, Huzaimah Azizi, 60, berkata, pencemaran itu bukan sahaja menukar kejernihan air sungai tersebut, malah, menimbulkan bau busuk yang mengganggu penduduk setempat.

Katanya, keadaan yang berlarutan sejak tiga tahun lalu itu menyebabkan mereka tidak lagi menggunakan air sungai itu untuk mandi dan membasuh pakaian.

“Sekarang, kanak-kanak pun sudah tidak boleh bermain dan mandi di sini kerana  air yang tercemar itu menyebabkan badan gatal-gatal. 

“Penduduk yang biasanya menangkap ikan juga terpaksa menghentikan aktiviti mereka disebabkan oleh pencemaran tahi lembu yang dibuang ke dalam sungai,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Sementara itu, Rosdi Rawi Suid, 39, berkata, pencemaran itu bukan sahaja mengancam habitat ikan di sungai berkenaan malah menjejaskan pendapatan sampingannya yang mencari rezeki menangkap ikan di sungai tersebut.

Katanya, banyak spesies ikan yang kini telah tiada disebabkan aktiviti pihak tidak bertanggungjawab itu termasuk baung, keli dan sebarau. 

“Kalau dulu, saya tangkap ikan di sungai ini untuk pendapatan sampingan, namun, sekarang tidak boleh lagi sebab badan akan gatal bila masuk dalam air,” katanya.

Dalam pada itu, seorang penduduk, Hamdan Ishak berkata, pihaknya telah melaporkan perkara itu kepada pihak yang berkaitan namun tiada tindakan diambil sehingga kini. 

“Sungai ini akan melalui Kantan Baru dan masuk ke Sungai Pari. Jadi penduduk di sini dan sekitar kawasan tersebut sememangnya terjejas dengan pencemaran ini. 

“Kami harap pihak berkaitan dapat mengambil tindakan sewajarnya bagi mengatasi masalah pencemaran Sungai Kuang ini,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya