Penduduk rayu klinik kesihatan terbiar diselenggara - Utusan Malaysia

Penduduk rayu klinik kesihatan terbiar diselenggara

AZMAN Che Ani menunjukkan Klinik Kesihatan Kepala Batas, Kubang Pasu, Kedah, yang ditutup sehingga mengundang pelbagai masalah kepada penduduk sekitar kawasan itu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUBANG PASU: Penduduk di Kepala Batas, Jitra di sini merayu sebuah klinik kesihatan di kawasan itu yang ditutup sejak dua tahun lalu tidak dibiarkan sehingga dinaiki semak samun dan diselenggara dengan baik.

Klinik kesihatan tersebut kini dikatakan menjadi tempat penjenayah dan penagih dadah berkumpul pada waktu-waktu tertentu.

Difahamkan, ia ditutup untuk kerja-kerja naik taraf namun tidak dibuka sehingga hari ini.

Penduduk Kampung Simpang Tiga, Kepala Batas, Azman Che Ani, 55, mendakwa, kawasan Klinik Kesihatan Kepala Batas itu juga didapati menjadi sasaran penjenayah mencuri barangan berasaskan logam.

Lebih membahayakan, katanya, pencuri mengambil wayar sebelum membakarnya untuk proses mendapatkan bahan tembaga.

“Banyak rangka tingkap besi dicuri, malah pendingin hawa didapati hilang dipercayai dicuri,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Penduduk Kampung Hilir, Mohd. Jaafar, 64, pula berkata, keadaan klinik kesihatan yang dipenuhi semak samun itu mengundang kepada masalah kehadiran haiwan berbisa.

“Penduduk pernah terserempak dengan seekor ular di kawasan klinik itu yang mencetuskan kebimbangan dalam kalangan penduduk tinggal berhampiran,” ujarnya.

Menurutnya, dia pernah memaklumkan masalah itu kepada Jabatan Kerja Raya Januari lalu supaya membersihkan kawasan itu.

“Pihak berkenaan berjanji membersihkannya bulan lepas tetapi sehingga sekarang belum ada sebarang kerja-kerja membersih dilakukan,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN