Pendakwaan pinda tuduhan terhadap Zahid pada hari ke-49 perbicaraan - Utusan Malaysia

Pendakwaan pinda tuduhan terhadap Zahid pada hari ke-49 perbicaraan

AHMAD ZAHID HAMIDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi di sini terhadap satu pertuduhan pindaan bagi kes pengubahan wang haram membabitkan dana Yayasan Akalbudi.

“Saya faham tuduhan ini untuk memberatkan hukuman kepada saya, Terima Kasih … saya mengaku tidak bersalah,” ujar bekas Timbalan Perdana Menteri itu di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah.

Pihak pendakwaan meminda pertuduhan ke-27 dengan menambah nilai wang dan jumlah cek bagi kes pengubahan wang haram ketika beliau sedang dibicarakan pada hari ke-49 perbicaraan yang berlangsung hari ini.

Dalam pertuduhan asal, nilai wang terlibat ialah RM6,885,300.20 dan cek sebanyak 30 keping manakala pertuduhan pindaan ialah RM7,511,250.20 dan 35 keping cek.

Mengikut pertuduhan pindaan itu, Zahid, 68, didakwa melakukan kesalahan pengubahan wang haram dengan melibatkan diri secara langsung dalam transaksi membabitkan hasil daripada aktiviti haram.

Beliau didakwa mengarahkan Omar Ali Abdullah, 49, untuk mengubah bagi pihak tertuduh wang tunai berjumlah RM7,511,250.20 kepada 35 keping cek yang kemudiannya diserahkan kepada Tetuan Lewis & Co. untuk tujuan pembelian simpanan tetap di Maybank.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu didakwa melakukan kesalahan tersebut di Marhaba Enterprise Sdn. Bhd. LG 1.15, Fahrenheit88, 179 Jalan Bukit Bintang di sini pada 29 Mac 2016 dan 15 Julai 2016.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan itu dilakukan atau RM5 juta yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Beliau sedang dibicarakan terhadap 47 pertuduhan iaitu 27 pertuduhan pengubahan wang haram, 12 pecah amanah dan lapan rasuah melibatkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.

Pendakwaan diketuai oleh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Raja Rozela Raja Toran manakala pembelaan diketuai oleh peguam Hisyam Teh Poh Teik.

Terdahulu, sebelum perbicaraan bermula, Hisyam berkata pihaknya telah membuat laporan polis berhubung satu maklumat sulit berkaitan mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu yang tular di aplikasi Whatsapp dan Facebook  yang didakwa mengaitkan pendakwaan kes terhadap Zahid. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya