Pemain industri jamin tidak naik harga - Utusan Malaysia

Pemain industri jamin tidak naik harga

KERATAN akhbar Utusan Malaysia 10 Mac 2021.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Harga pakej pelancongan tidak akan dinaikkan selepas kerajaan membenarkan pelancong bergerak dari kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) merentas negeri PKPP lain.

Selain itu, syarikat pelancongan memberi jaminan tawaran harga menarik bagi menggalakkan pertumbuhan sektor berkenaan selepas beberapa bulan terkesan akibat penularan pandemik Covid-19.

Eksekutif Mahaizah Travel, Amirul Izuan Illias berkata, dia memberi jaminan mengikut semua prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan bagi memastikan tiada penularan dalam kalangan pelancong.

“Malah, semua bas juga telah disanitasi setakat ini dan dibuat sama ada sebelum atau selepas digunakan di samping pemberian topeng muka secara percuma sepanjang perjalanan.

“Ini penting kerana kita nak pastikan bahawa tiada kluster pelancongan demi menjamin ‘periuk nasi’ kami pada masa akan datang ,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

Dalam pada itu, Presiden Majlis Pelancongan Malaysia (MTC), Uzaidi Udanis berkata, pemain industri menjangka berlaku peningkatan pakej revenge tourism dalam tempoh beberapa bulan akan datang.

“Pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) ramai tidak boleh keluar melancong, jadi sudah pasti berlaku peningkatan revenge tourism sebaik sahaja kebenaran merentas negeri dibenarkan.

“Buat masa ini kita sasarkan pembelian pakej ini dalam kalangan kakitangan kerajaan terlebih dahulu,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN