Peluang bina hidup baharu - Utusan Malaysia

Peluang bina hidup baharu

BEH Chew Boo mahu memulakan kehidupan baharu di negeri kelahirannya selepas tiba di Pulau Pinang, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Tiada apa yang lebih membahagiakan seorang anak jati Pulau Pinang, Beh Chew Boo, 38, apabila dapat menjejakkan kaki semula ke negeri ini selepas dibebaskan daripada hukuman gantung di Singapura, atas dakwaan memiliki dadah.

Chew Boo yang berasal dari Nibong Tebal dekat sini, tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang kira-kira pukul 9.15 pagi semalam sebelum dibawa ke pusat kuarantin untuk menjalani kuarantin wajib bagi membendung penularan pandemik Covid-19.

Chew Boo berkata, dia sangat gembira dan berasa lebih bebas apabila dapat kembali ke tanah air selepas 53 bulan menjadi penghuni penjara di Singapura.

“Saya mahu memulakan hidup baharu di sini. Buat masa ini saya tidak ada perancangan yang khusus, saya perlu jalani kuarantin dahulu,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Sebelum ini, akhbar melaporkan Chew Boo dibebaskan selepas panel hakim yang sama mengetepikan permohonan pihak pendakwa untuk mengenakan empat pertuduhan lebih ringan berkaitan dadah terhadap lelaki itu.

Hakim yang terdiri daripada Sundaresh Menon; Tay Yong Kwang dan Steven Chong membuat keputusan 2-1 yang memihak kepadanya.

Chew Boo yang ditahan pada 26 Oktober 2016 atas dakwaan cuba membawa masuk 499.97 gram metafetamin dari Malaysia di Pusat Pemeriksaan Woodlands berdepan lima pertuduhan membawa dadah ke negara republik itu.

Menurut Chew Boo, dia mahu meluangkan lebih masa bersama keluarga dan menumpukan perhatian untuk membina kehidupan baharu di sini.

“Saya ingin berkongsi kisah saya dengan semua orang sebagai pengajaran untuk berhati-hati,” katanya.

Dalam pada itu, adik perempuannya, Siew Yee Beh berkata, berita pembebasan abangnya disambut gembira ahli keluarga mereka yang tidak sabar bertemu kembali dengan Chew Boo.

“Kami gembira kerana semua tahu bukan sesuatu yang mudah untuk terselamat daripada hukuman gantung di Singapura.

“Abang saya sudah bebas, kami sangat bersyukur dan berharap keluarga kami dapat bersatu kembali,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN