Pas perlu sedar ‘kolam’ yang mahu melemaskan UMNO - Utusan Malaysia

Pas perlu sedar ‘kolam’ yang mahu melemaskan UMNO

PUAD ZARKASHI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pas perlu meneliti kejujuran bermain dua ‘kolam’ di antara Muafakat Nasional (MN) bersama UMNO dan Perikatan Nasional (PN) dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr. Mohd Puad Zarkashi berkata, meskipun kedua-duanya ‘halal’ dan sah, namun, terdapat parti dalam satu ‘kolam’ ini yang mahu melemaskan UMNO dalam diam.

“Menurut beliau Pas memang main dua kolam. Tetapi secara sah. Maksudnya kolam-kolam itu ada logo halal. Atau kolam yang melemaskan.

“Memang tidak dinafikan, PAS tandatangan perjanjian dengan UMNO melalui Piagam Muafakat Nasional. Dalam masa sama PAS adalah ahli berdaftar PN. PN juga sembelihan halal pada Pas.

“Pendirian saya tetap sama. Dalam kerjasama politik, sah atau tidak, halal atau sembelih yang penting ialah ‘kejujuran politik’,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz bahawa, jika Pas ‘bermain dua kolam’ sekali pun, ia tidak menjadi masalah kerana kedua-dua kolam terbabit sekurang-kurangnya diikat secara sah oleh parti.

Walaupun tidak menyebut nama parti, ahli Parlimen Bachok itu dikatakan merujuk kepada khabar angin wujudnya usaha penjajaran politik baharu membabitkan UMNO dengan Pakatan Harapan (PH).

Terdahulu, dilaporkan PKR tidak menolak kerjasama sekiranya perlu berganding bahu dengan UMNO pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 dan ia dinyatakan secara jelas oleh Presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Kami juga tidak menolak kemungkinan untuk bekerjasama dengan UMNO dalam PRU akan datang susulan keputusan UMNO minggu lalu untuk tidak meneruskan kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada PRU akan datang,” katanya dalam sidang akhbar sebelum ini.

Untuk rekod, UMNO pada Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) di Janda Baik baru-baru ini telah memutuskan untuk tamat kerjasama dengan Bersatu.

Penolakan kerjasama tersebut adalah berikutan isu pengagihan kerusi yang dilihat tiada jalan penyelesaian apabila UMNO berkeras untuk tidak mahu menyerahkan sejumlah kerusi kepada Bersatu baharu dalam politik.

Bagaimanapun, Pas kini cuba menjadi pendamai antara kedua-dua parti itu supaya terus bekerjasama pada Pilihan Raya akan datang demi Kesatuan Melayu Islam. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN