KUANTAN: Johan Qariah Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Negeri Pahang Tahun 1442H/2021M, Norhanani Ayob, 26, menyifatkan kemenangannya sebagai rezeki anak apabila beliau kini sedang hamil enam bulan.
Beliau yang merupakan johan menunggu dari Bentong mengakui seni bacaannya sedikit mencabar kerana keadaannya yang sedang hamil, namun berusaha mengaturnya supaya dapat disesuaikan dengan pernafasan dan kemampuannya.
“Saya cuba menyesuaikan harkat bacaan dengan pernafasan saya yang sedikit pendek kerana sedang hamil,” katanya yang memperoleh 86.50 markah.
Norhanani yang juga seorang guru mengaji akan berusaha memperbaiki kelemahan bacaannya sebagai persediaan mewakili Pahang di tilawah peringkat kebangsaan yang akan berlangsung pada 13 hingga 18 Jun 2021 depan di Kuala Lumpur.
Pemenang tempat kedua Siti Esah Ab. Ghani dari Bentong memperoleh markah 81.50 dan tempat ketiga Siti Patimah Selaman dari Muadzam Shah (80.50 markah).
Sementara itu, qari dari Maran, Huzaifah Abdul Sukir, 32, mengakui terkejut sebaik sahaja diumumkan sebagai johan qari kerana pernah kecundang pada tilawah al-Quran tahun lalu.
“Saya memang tidak jangka sebarang kemenangan kerana pada tilawah tahun lalu saya hanya mendapat sagu hati sahaja,” katanya yang memperoleh 85 markah.
Berikutan itu, Huzaifah yang juga imam di Masjid Felda Bukit Sagu 1, Kuantan, telah menggandakan usaha dalam memperbaiki kualiti bacaannya sebelum diumumkan sebagai johan sekali gus mewakili Pahang ke peringkat kebangsaan.
Pemenang tempat kedua dan ketiga pula berkongsi markah yang sama iaitu 83 masing-masing dari daerah Bera iaitu Jalaluddin Hashim dan Cameron Highlands, Muhammad Ariffin Nordin.
Kedua-dua qari dan qariah membawa pulang hadiah wang tunai RM8,000, piala pusingan, hadiah iringan dan sijil penyertaan.
Hadiah disampaikan Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mewakili Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Yang hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, barisan Exco Kerajaan Negeri ; Setiausaha Kerajaan Pahang, Datuk Seri Dr. Sallehuddin Ishak; Mufti Pahang, Datuk Seri Dr. Abdul Rahman Osman dan Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Datuk Dr. Zulkiflie Ali Al-Hafiz.
Seramai 29 peserta daripada 14 daerah iaitu Kuantan, Maran, Pekan, Jengka, Chenor, Temerloh, Bera, Jerantut, Bentong, Raub, Muadzam Shah, Rompin, Lipis dan Cameron Highlands menyertai pertandingan yang berlangsung selama tiga hari di Hotel Swiss Bel, di sini.
Kesemua peserta diadili oleh 12 juri yang menilai pelbagai aspek termasuk tajwid, fasahah, suara dan taranum.- UTUSAN ONLINE










