SEGAMAT: Setiap kali 8 Mac menjelma, ingatan rakan sekelas kepada pembantu juruterbang pesawat MH370, Fariq Abdul Hamid kembali segar mengenangkan nasib sahabatnya itu.
Mohamad Azri Zakaria, 34, yang merupakan rakan sekelas Fariq sejak tahun satu di Sekolah Kebangsaan (SK) Temenggung Abdul Rahman (STAR) di sini menyifatkan kehilangan Fariq masih dirasai dan amat mengejutkan.
“Pada hari kejadian saya sedang melayari Facebook. Saya ternampak berita mengenai pesawat MH370. Saya membaca senarai nama mangsa yang terlibat dan terkejut apabila ternampak nama Fariq,” katanya ketika ditemui di Bandar Segamat dekat sini.
Semalam, genap tujuh tahun misteri kehilangan pesawat MH370, anak kapal serta penumpang pesawat tersebut.
Mohamad Azri menyifatkan rakannya itu seorang yang berdedikasi, tegas, sangat aktif dan berkarisma.
“Kami hanya sempat sekelas sampai tahun tiga kerana selepas itu dia berpindah sekolah. Fariq hanya bersekolah di STAR selama tiga tahun dan terpaksa berpindah mengikut keluarga disebabkan pertukaran tugasan bapanya keluar dari Segamat.
“Kami berjumpa semula semasa melanjutkan pelajaran ke Kolej Matrikulasi Melaka tetapi dia hanya beberapa bulan di situ sebelum melanjutkan pelajaran ke kolej juruterbang,” katanya yang kini bertugas sebagai jurutera projek sebuah syarikat pengangkutan.
Menurut Mohamad Azri, kali terakhir mereka bertemu di Shah Alam, Selangor beberapa kali sekitar 2010 hingga 2011 dan sewaktu itu Fariq sudah menjadi juruterbang Malaysia Airlines (MAS).
Katanya, walaupun sudah tujuh tahun peristiwa itu berlalu, dia sentiasa mendoakan keajaiban berlaku untuk Fariq serta seluruh anak kapal dan penumpang kembali ke pangkuan keluarga masing-masing.
“Saya berharap, kerajaan meneruskan operasi pencarian walaupun sudah tujuh tahun kejadian itu. Dalam keadaan yang serba canggih zaman ini, agak mustahil untuk rakyat Malaysia menerima berita yang MH370 tidak dapat ditemukan, walaupun dikatakan berakhir di Lautan Hindi,” katanya.
Fariq yang masih belum berumah tangga merupakan anak sulung daripada lima adik-beradik, menamatkan pengajian di sebuah akademi penerbangan sebelum menyertai MAS pada 2007 dan telah melengkapkan sejumlah 2,763 jam penerbangan sewaktu menerbangkan pesawat terakhirnya itu.
Mengimbau kembali peristiwa hitam itu, penerbangan MH370 berlepas dari Kuala Lumpur dengan seramai 227 penumpang dan 12 anak kapal pada pukul 12.41 tengah malam pada 8 Mac 2014 melalui Laut China Selatan menuju ke Beijing sebelum dilaporkan hilang dari radar. – UTUSAN










