KUALA KANGSAR: Mayat lelaki dalam keadaan berbungkus ‘kain kapan’ dan kanvas plastik ditemukan di tepi jalan di Kilometer 57, Jalan Gerik-Kuala Kangsar berhampiran Kampung Lubuk Merbau di sini hari ini.
Mayat berbalut kain berwarna putih dan selimut bercorak kartun itu ditemukan orang awam di jalan menghala ke Kuala Kangsar kira-kira pukul 10.15 pagi sebelum melaporkan kepada pihak polis.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, Senior Asisten Komisioner Anuar Othman berkata, anggotanya yang tiba ke lokasi sejurus selepas menerima maklumat mendapati terdapat mayat seorang lelaki dibalut dengan kain dan kanvas.
Katanya, pemeriksaan oleh Pakar Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) mendapati mangsa merupakan seorang lelaki dipercayai berbangsa India.
“Mangsa dipercayai warga tempatan berdasarkan parut suntikan pada bahu sebelah kiri dan disyaki telah meninggal dunia dalam tempoh kurang daripada 36 jam.
“Ketika ditemukan, mangsa memakai kemeja dan berseluar pendek. Terdapat satu kesan luka pada bahagian kepala sebelah kanan namun tidak dapat dipastikan punca luka tersebut,” katanya di sini.
Anuar berkata, mangsa yang berusia lingkungan 40-an itu dipercayai mati di tempat lain namun mayatnya dibawa dan ditinggalkan di kawasan tersebut.
Katanya, turut ditemukan berhampiran mayat mangsa ialah seekor ayam yang telah mati.
“Pemeriksaan di lokasi mangsa ditemukan mendapati kawasan tersebut jauh dari kawasan kejiranan dan merupakan laluan utama yang digunakan dari Gerik ke Kuala Kangsar.
“Tiada dokumen pengenalan diri bersama mangsa dan semakan terhadap laporan orang hilang akan dilakukan bagi mengenal pasti identiti lelaki terbabit,” katanya.
Tambah beliau, siasatan lanjut terhadap kes itu sedang dijalankan berdasarkan kepada beberapa bukti yang diperoleh di tempat kejadian.
“Mayat mangsa dihantar ke HRPB untuk bedah siasat dan setakat ini, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.










