PUTRAJAYA: Malaysia dan Singapura menggunakan teknologi blockchain bagi tujuan pengiktirafan dan perakuan sijil vaksinasi yang dikeluarkan kedua-dua negara untuk pembukaan sempadan dua negara kelak.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin berkata, kerjasama kedua-dua negara penting bagi memastikan piawaian yang ditetapkan termasuk daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) dan negara-negara lain diambil kira.
Perkara itu antara dibincangkan beliau semasa pertemuan bersama Menteri Luar Singapura, Dr. Vivian Balakrishnan sebagai sebahagian daripada rangka kerja lawatan rasmi ke Malaysia.
“Kami antaranya telah berkongsi pengalaman dan amalan negara masing-masing dalam pelaksanaan program imunisasi Covid-19. Malaysia dan Singapura komited dalam meneruskan kerjasama erat bagi tujuan pemulihan pasca pandemik nanti,” katanya dalam kenyataan menerusi Facebook beliau hari ini.
Dalam rangka kerja dua hari ke negara ini, Vivian mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.
Lawatan itu sebahagian daripada usaha berterusan untuk memperkukuhkan hubungan erat antara Malaysia dan Singapura.










