PUTRAJAYA: Kerajaan sedia merujuk kepada panel Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) jika tidak berpuas hati dengan alasan diberi Kesatuan Eropah (EU) dalam isu minyak sawit.
Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Wee Jeck Seng berkata, ia merupakan prosedur biasa dalam pertikaian perundangan multilateral peringkat global.
“Kita baru sahaja ada proses konsultasi dengan EU secara maya pada 17 Mac lalu melalui Mekanisme Penyelesaian Pertikaian WTO yang sudah pun difailkan pada 15 Januari lepas.
“Justeru, kita akan meneliti balik segala alasan dikemukakan pihak EU berhubung kenapa masih dikenakan diskriminasi perundangan ke atas produk minyak sawit Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mewakili menterinya, pada Majlis Anugerah Usahawan Baharu Bumiputera Sektor Perkayuan di Hotel Everly di sini hari ini.
Juga hadir ialah Pengerusi Majlis Kayu-Kayan Malaysia (MTC), Mazli Zakuan Mohd. Noor dan Ketua Pengarah Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB), Mohd. Kheiruddin Mohd. Rani.
Menteri berkenaan, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali mewakili delegasi Malaysia pada sesi konsultasi itu yang juga disertai wakil Colombia dan Indonesia sebagai pemerhati.
EU pada 2018 menyekat import minyak sawit buatan Malaysia atas dakwaan konon ladang komoditi itu banyak menjejaskan teruk kelestarian alam sekitar melalui Arahan RED II.
Proses konsultasi itu merupakan platform rasmi bagi penjelasan dan pemahaman susulan mengenai tindakan undang-undang diskriminasi oleh EU ke atas produk sawit Malaysia.
Mengulas lanjut, Jeck Seng berkata, sekiranya alasan dikemukakan blok ekonomi 27 negara di benua termaju dunia itu tidak munasabah, isu tersebut akan dirujuk kepada panel WTO.
“Perkara ini sebenarnya tiada ada tarikh akhir ditetapkan dan kerajaan Malaysia perlu menilai balik segala hujah diberikan EU sebelum boleh beri maklum balas selanjutnya,” kata beliau.- UTUSAN ONLINE