KUANTAN: Lebih 300 hektar kawasan hutan tanah gambut di daerah ini, Pekan dan Rompin mengalami kebakaran sekali gus menyumbang kepada bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat terutama bahagian selatan negeri ini.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) negeri, Wan Mohammad Zaidi Wan Isa berkata, pihaknya mula melaksanakan operasi memadam kebakaran hutan gambut bermula awal bulan ini.
“Pemantauan daripada udara mendapati banyak kawasan ‘hotspot’ mengalami kebakaran dan kawasan yang paling besar terjejas adalah di Muadzam Shah, Rompin, membabitkan 300 hektar hutan simpan.
“Anggota kami sedang bertungkus-lumus memadamkan kebakaran itu bagi mengelak api merebak berikutan kawasan kebakaran itu berhampiran dengan ladang sawit,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Wan Mohammad Zaidi berkata, pesawat digunakan bukan sahaja untuk membuat pemadaman dari udara malah menghantar pasukan khas ke lokasi kejadian sekiranya kawasan terbabit tidak dapat dimasuki melalui jalan darat.
“Selain itu, kita membuat ‘fire break’ membabitkan operasi bersama Pejabat Hutan negeri bagi mencegah kebakaran dari terus merebak selain turut mendapat bantuan daripada pihak ladang dalam operasi pemadaman.
“Seramai 200 anggota terlibat dalam operasi memadam kebakaran hutan di tiga daerah itu bukan sahaja membabitkan anggota daripada balai terdekat malah anggota dari balai daerah lain juga turut dihantar.
“Pemantauan berterusan dilakukan bagi membendung berlakunya kebakaran baharu atau berulang terutama berhampiran kawasan yang mempunyai penduduk atau ladang,” katanya. – UTUSAN ONLINE