PUTRAJAYA: Sebanyak 1,911 pengamal perubatan am swasta (GP) berdaftar untuk terlibat bagi Fasa 2 dan 3 Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) .
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, bagi memaksimumkan akses pengagihan vaksin dengan lebih meluas kepada rakyat, lebih ramai GP diseru untuk terlibat.
Menurut beliau, GP yang berminat perlu berdaftar dengan ProtectHealth Corporation Sdn. Bhd. (ProtectHealth) melalui laman web www.protecthealth.com.my.
“Melalui laman web tersebut juga, GP boleh mendapatkan maklumat berkaitan model vaksinasi, skop tugas, keperluan, kadar bayaran dan kaedah pembayaran.
“GP yang telah berdaftar akan diberikan taklimat dan latihan berkaitan skop-skop tugas dalam PICK,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Adham berkata, GP juga akan diberikan garis panduan dan manual lengkap sebagai rujukan dalam mengendalikan pemberian vaksin kepada kumpulan sasaran Fasa 2 dan 3.
Beliau berkata, Kementerian Kesihatan berharap kerjasama awam-swasta dalam PICK akan dapat memberi manfaat kepada rakyat secara meluas dan mempercepatkan usaha ke arah pembentukan imuniti kelompok. – UTUSAN ONLINE