Kos pindah warga Myanmar RM250 juta - Utusan Malaysia

Kos pindah warga Myanmar RM250 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Kerajaan negeri menganggarkan kos memindahkan penduduk warga Myanmar di penempatan haram di Bukit Malut, Pulau Langkawi ke tempat baharu boleh menelan kos sehingga kira-kira RM250 juta.

Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, jumlah itu anggaran kasar kos minimum yang mungkin diperlukan bagi proses pemindahan warga Myanmar yang telah mendapat kerakyatan negara ini.

Menurut beliau, ketika ini dianggarkan sebanyak 1,400 rumah baharu perlu dibina bagi memindahkan penduduk dari Bukit Malut.

Bukit Malut”Katakanlah nilai sebuah rumah RM100,000. Bermakna, kita perlu belanjakan RM140 juta untuk membina rumah buat mereka.

“Begitupun dalam zaman sekarang ini, mungkin kita dah tak boleh nak bina sebuah rumah pada harga itu. Jadi, kosnya mungkin lebih daripada RM140 juta,” katanya kepada Mingguan Malaysia di sini semalam.

Kata Muhammad Sanusi, sebanyak RM30 juta pula dijangka diperlukan untuk kos tanah dan pembinaan infrastruktur.

“Kos pindah, pengurusan dan pembersihan mungkin menelan belanja RM20 juta. Kita juga mungkin memerlukan tambahan RM50 juta untuk lain-lain kos tambahan dan disebabkan itu, saya menjangka kos minimum bagi memindahkan penduduk di situ mencecah RM250 juta,” katanya.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad kelmarin dilaporkan berkata, masalah penempatan haram di Bukit Malut hanya boleh diselesaikan dengan bantuan kerajaan Persekutuan.

Menurut Ahli Parlimen Langkawi itu, campur tangan kerajaan Persekutuan diperlukan kerana kerajaan negeri tidak mempunyai peruntukan besar bagi menyelesaikan perkara itu.

Muhammad Sanusi dalam pada itu mengakui, kos yang perlu ditampung bagi menyempurnakan pemindahan, terlalu besar buat kerajaan negeri.

“Sekarang ini banyak pihak telah membuka mata terhadap apa yang berlaku. Sekarang adalah masa yang tepat untuk pihak berwajib bertindak.

“Majlis Keselamatan Negara (MKN) perlu mengambil tindakan dan seperti yang saya nyatakan sebelum ini, kerajaan negeri sedia memberi kerjasama penuh,” katanya. – MINGGUAN MALAYSIA

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN