Kerajaan Kedah mahu penduduk dipindahkan segera - Utusan Malaysia

Kerajaan Kedah mahu penduduk dipindahkan segera

Penempatan haram yang dibina di atas tanah rizab hutan paya bakau di Bukit Malut, Langkawi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Kerajaan negeri mengharapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dapat memindahkan segera penduduk di penempatan haram di Bukit Malut, Langkawi, dekat sini memandangkan kerajaan negeri mempunyai perancangan untuk membangunkan kawasan itu.

Kawasan penempatan haram yang diduduki warganegara Myanmar itu adalah milik Permodalan Kedah Berhad (PKB) dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, penduduk di kawasan tersebut perlu dipindahkan segera kerana penempatan itu semakin luas hingga ke laut.

Menurutnya, tindakan itu perlu dilakukan bagi mengelakkan lebih banyak rumah dibina di kawasan berkenaan.

Jelasnya, penyediaan pelan dan perancangan bagi memindahkan penduduk di penempatan haram itu terletak di bawah bidang kuasa MKN.

“Bagaimanapun, kerajaan negeri bersedia memberi kerjasama kepada MKN bagi urusan perpindahan penduduk terlibat,” katanya.

Dalam pada itu, Muhammad Sanusi memberitahu, kerajaan negeri sudah mengenal pasti dua tapak yang sesuai dijadikan sebagai penempatan semula penduduk terbabit.

Namun, beliau tidak mahu mendedahkan lagi kawasan penempatan baharu penduduk di Bukit Malut itu.

“Penduduk yang terlibat dengan proses pemindahan itu adalah mereka yang telah mendapat kewarganegaraan Malaysia dan memiliki MyKad,” ujarnya.

Selain itu, menurutnya, kerajaan negeri juga mempunyai perancangan membangunkan tanah di penempatan penduduk di Bukit Malut.

“Kawasan itu sangat berpotensi untuk dibangunkan dan kita memang memiliki perancangan melakukan pembangunan di situ,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN