Kelodak Sungai Kulim punca ikan mabuk, mati - Utusan Malaysia

Kelodak Sungai Kulim punca ikan mabuk, mati

SHARIFAH Zakiah Syed Sahab meninjau kejadian ikan mabuk dan mati di Sungai Kulim, Penanti, Pulau Pinang yang disebabkan peningkatan kelodak akibat hujan lebat semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang mengenal pasti punca kejadian ikan mabuk dan mati di Sungai Kulim berdekatan Kampung Tun Sardon, Ara Kuda, Penanti dekat sini Jumaat lalu disebabkan kandungan oksigen terlarut di dalam sungai itu yang menurun secara mendadak.

Pengarahnya, Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata, penurunan oksigen itu berpunca daripada peningkatan kandungan pepejal terampai yang berkemungkinan disebabkan hujan lebat di hulu Sungai Kulim.

Jelas beliau, hujan lebat itu turut meningkatkan air larian permukaan (kelodak) di kawasan hulu sungai.

“Penurunan oksigen secara mendadak ini berkemungkinan memberi impak kepada spesies ikan yang sensitif menyebabkan berlakunya fenomena ikan-ikan mabuk dan mati,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Sharifah Zakiah, pihaknya telah menjalankan siasatan sebaik sahaja menerima laporan kejadian ikan mabuk dan mati di Sungai Kulim itu pada pukul 5.45 petang.

Tambah beliau, siasatan di lokasi kejadian pada hari sama mendapati masih terdapat ikan mati yang hanyut di permukaan sungai tersebut dan pihaknya telah melakukan persampelan air di tiga lokasi Sungai Kulim.

Jelasnya, siasatan diteruskan keesokan hari untuk mengenal pasti punca-punca yang berpotensi mencemarkan sungai tersebut termasuk menggunakan dron dan menyusuri sungai sehingga memasuki sempadan Kulim, Kedah.

Beliau berkata, siasatan itu kemudiannya turut menemukan ikan mati dan terapung di permukaan air Sungai Kulim di sekitar Lunas, Kulim, Kedah.

“Disebabkan kejadian ini melibatkan kawasan sempadan, JAS Pulau Pinang bekerjasama dengan JAS Cawangan Kulim dalam melakukan siasatan namun mendapati tiada punca industri yang berpotensi mencemar sungai itu.

“Pelepasan efluen terawat dari Kawasan Industri Kulim juga disalurkan ke Sungai Seluang dan kemudiannya ke Sungai Jarak serta tidak memasuki Sungai Kulim,” katanya.

Dalam pada itu Sharifah Zakiah berkata, JAS Pulau Pinang akan meneruskan kerjasama dengan JAS Kedah dalam mengawal pencemaran merentasi sempadan.

Jelasnya, kejadian ikan mabuk dan mati di Sungai Kulim itu juga akan dimaklumkan kepada pihak Lembaga Sumber Air Kedah untuk tindakan sewajarnya.

Dalam masa sama, beliau mengingatkan tindakan tegas akan diambil ke atas mana-mana pihak yang tidak bertanggungjawab menyebabkan pencemaran alam sekitar seperti yang tertakluk di dalam Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

“Orang ramai disarankan tidak melakukan kesalahan yang boleh menyebabkan pencemaran air untuk tujuan tertentu atau dengan tidak sengaja.

“Selain itu, kita juga berharap orang ramai melaporkan kes-kes pencemaran kepada JAS di talian bebas tol : 1-800-88-2727 atau melalui e-aduan di [email protected],” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya