Kedah benarkan tarawih di masjid, surau - Utusan Malaysia

Kedah benarkan tarawih di masjid, surau

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah (JHEAIK) membenarkan aktiviti mengimarahkan masjid dan surau sepanjang Ramadan termasuk solat tarawih serta moreh.

Pengarahnya, Mohd. Yusri Md. Daud berkata, pelaksanaan semua aktiviti tersebut yang berkuat kuasa 1 Ramadan perlu dilakukan mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

“Solat tarawih selepas solat Isyak dibenarkan mengikut kapasiti keseluruhan masjid dan surau dengan mematuhi protokol kesihatan dan penjarakan fizikal minimum satu meter. Itu termasuk program tadarus al-Quran, juga dengan SOP sama.

“Program qiamullail di masjid dan surau pula dibenarkan dengan aktiviti terhad kepada ibadah solat sunat, membaca al-Quran dan zikir. Tidur di masjid dan surau tidak dibenarkan,” katanya di sini hari ini.

Katanya, kariah masjid dan surau juga boleh mengadakan jamuan berbuka puasa, moreh dan sahur di kawasan berkenaan dengan mematuhi penjarakan fizikal.

“Jamuan hanya dibenarkan dalam bentuk bufet dan dihidangkan di ruangan khas jamuan. Namun begitu, makanan yang siap dibungkus amat digalakkan.

“Bagi hidangan bufet tersebut, pihak masjid dan surau hendaklah menyediakan petugas khas bagi menyenduk nasi, lauk, menyediakan minuman dan sebagainya sebagai satu langkah untuk mengekang penularan Covid-19,” jelasnya.

Tambahnya, aktiviti memasak juadah berbuka, moreh dan sahur di masjid dan surau juga dibenarkan dengan penglibatan tidak melebihi 10 petugas di lokasi penyediaan makanan pada satu-satu masa,” jelasnya.

Jelas beliau, pihak berkuasa berhak menentukan larangan yang lebih ketat terhadap mana-mana masjid dan surau di kawasan zon merah dari semasa ke semasa.

“Mana-mana masjid atau surau yang tidak mematuhi arahan ini boleh dikenakan tindakan dan kebenaran melaksanakan aktiviti keagamaan boleh ditarik balik serta-merta.

“Sekiranya berlaku sebarang kekeliruan berhubung pelaksanaan arahan ini, keputusan Pegawai Agama Daerah adalah muktamad,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.