PETALING JAYA: Walaupun kes Covid-19 menunjukkan trend penurunan sejak bebehari lalu, pertimbangan memberi kebenaran merentas negeri pada musim perayaan wajar di teliti semula.
Ini kerana pergerakan tersebut melibatkan ‘skala’ yang besar dan dari pelbagai negeri serta kawasan sekali gus membuka peluang kepada penularan Covid-19.
Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Datuk Dr. M. Subramaniam berkata, kebenaran perlu diberi seandainya kes penularan menurun kepada dua angka sahaja dengan mengikut syarat-syarat lebih ketat.
“Malah prosedur operasi yang lebih ketat perlu dilaksanakan selain percubaan dengan memberi kebenaran membabitkan sektor pelancongan terlebih dahulu. Sebagai contoh sebelum ini kerajaan memberi kebenaran rentas negeri Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), merentas negeri PKPP lain, dari negeri PKP ke PKP dengan menggunakan agensi pelancongan.
“Jadi mungkin selepas ini negeri Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) juga perlu dibenarkan sebelum rentas negeri dibenarkan kepada semua pihak lain,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Kerajaan sebelum ini memaklumkan rentas negeri untuk pulang menyambut Aidilfitri berkemungkinan akan dibenarkan jika enam faktor yang menjadi indikator penilaian risiko dapat dicapai.
Enam faktor tersebut adalah situasi kes harian, trend dan kadar kebolehjangkitan serta situasi semasa iaitu kadar dan jumlah kes kematian.
Dalam pada itu, Presiden Persatuan Perubatan Kesihatan Awam Malaysia (PPPPK), Datuk Dr. Zainal Ariffin Omar berkata, pemantauan kluster dan komuniti sangat penting sebelum langkah memberi kebenaran merentas negeri diberikan semasa musim perayaan.
“Yang penting bermula dari sekarang semua pihak perlu patuh prosedur operasi standard dan semasa bulan Ramadan.
“Ini kerana jika dilihat penularan dan peningkatan kes Covid-19 mungkin akan berlaku. Sebab itu pemantauan kluster dan komuniti sangat penting,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE










