KUALA LUMPUR: Dua van pasukan perubatan dilihat memasuki pekarangan Kedutaan Korea Utara di Jalan Binjai di sini tadi.
Kedua-dua van dinaiki lebih 10 petugas perubatan Pusat Perubatan ALPS itu tiba kira-kira pukul 10.10 pagi.
Kesemua pegawai perubatan itu turut memakai peralatan perlindungan diri (PPE) dipercayai bagi membuat ujian swab Covid-19 terhadap kakitangan diplomatik Korea Utara.
Tinjauan Utusan Malaysia juga mendapati terdapat enam buah kenderaan di pekarangan pejabat Kedutaan Korea Utara.
Kenderaan-kenderaan dipercayai milik kakitangan diplomatik Korea Utara dilihat keluar masuk di pejabat kedutaan tersebut.
Petugas media tempatan mula berkumpul di perkarangan pejabat diplomatik seawal pukul 8 pagi selain sebuah kereta peronda polis juga dilihat memantau perkarangan bagi memastikan prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi.
Kerajaan semalam mengarahkan semua kakitangan diplomatik Kedutaan Korea Utara di Kuala Lumpur dan ahli keluarga meninggalkan negara ini dalam tempoh 48 jam.
Wisma Putra dalam satu kenyataan memaklumkan, tindakan itu diambil selepas Korea Utara memutuskan hubungan diplomatik dengan Malaysia, ekoran seorang rakyatnya yang menetap di negara ini, Mun Chol Myong, diekstradisi ke Amerika Syarikat untuk menghadapi tuduhan pengubahan wang haram.
Chol Myung ditahan pihak berkuasa Malaysia pada 14 Mei 2019 susulan waran tangkap mengikut Seksyen 13 (1) (b) Akta Ekstradisi 1992 susulan dakwaan konspirasi penggubahan wang haram serta melanggar sekatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Suspek dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 13 Disember 2019. Permohonan writ habeas corpus di Mahkamah Tinggi pada 29 Disember tahun sama dan rayuannya di Mahkamah Persekutuan pada 8 Oktober tahun lalu ditolak selepas mahkamah mendapati permohonan dan rayuannya tidak berasas di bawah Akta Ekstradisi.
Korea Utara semalam mengumumkan bahawa negara itu memutuskan hubungan diplomatik dengan Malaysia.
Menurut Kementerian Luar Pyongyang, ia adalah tindak balas terhadap tindakan Malaysia mengekstradisi seorang rakyat Korea Utara ke Amerika Syarikat (AS), awal bulan ini.
Kementerian itu menyifatkan tindakan berkenaan sebagai ‘jenayah tidak boleh dimaafkan’ yang didakwa dilakukan kerana tekanan AS.- UTUSAN ONLINE