KADA mahu uji padi nuklear dulu - Utusan Malaysia

KADA mahu uji padi nuklear dulu

Padi NMR-152 dihasilkan menerusi aruhan sinaran gama- GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR MAS: Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) akan menguji ‘kemampuan’ padi NMR-152 atau padi nuklear terlebih dahulu sebelum menggalakkan petani di bawah seliaan agensi itu mencuba varieti baharu itu.

Pengerusi KADA, Datuk Kamarudin Md. Nor berkata, sebagai permulaan, pihaknya merancang untuk mengusahakan tanaman padi jenis itu di atas tanah berkeluasan enam hingga 10 hektar.

Menurutnya, projek rintis itu akan dimulakan pada musim baharu akan datang iaitu sekitar Jun depan.

“Sekiranya varieti ini menunjukkan hasil yang baik dan berkualiti, serta mampu menjana pendapatan lumayan, KADA akan memberikan galakan kepada petani untuk mengusahakan padi jenis ini,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Terdahulu, beliau menyempurnakan Majlis Pembahagian Hasil Ladang Merdeka Meranti, Senor dan Bakong Bagi Musim 1/2020 di Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kubang Bunut, di sini.

Hadir sama Pengurus Besar KADA, Nik Roslan Idris.

Kamarudin memberitahu, selain NMR-152 yang diperkenalkan Agensi Nuklear Malaysia, KADA juga merancang untuk menguji dua lagi varieti baharu iaitu MR-315 dan Putra 2.

Katanya, MR-315 merupakan benih yang dikeluarkan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) manakala Putra 2 dari Universiti Putra Malaysia (UPM).

“Kesemua padi ini mempunyai kelebihan masing-masing. Jadi kita akan mengujinya untuk melihat sejauh mana hasil sebelum para petani boleh mengusahakannya,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Kamarudin berkata, jumlah pengeluaran padi menerusi Projek Ladang Merdeka KADA berjaya melebihi sasaran iaitu 6 tan untuk satu hektar.

“Pencapaian ini membuktikan sistem pertanian di negara ini bertambah baik berbanding dulu yang sekadar mengeluarkan hasil antara empat hingga lima tan bagi keluasan sama,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN