Jenazah Nor Hayati selamat dikebumikan - Utusan Malaysia

Jenazah Nor Hayati selamat dikebumikan

AHLI keluarga menyiram air dan bunga ke atas pusara Nor Hayati di Tanah Perkuburan Islam Kampung Lubuk Pusing, Bagan Terap, Sungai Besar, Selangor, malam tadi. -Foto ISKANDAR SHAH MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SABAK BERNAM: Jenazah mangsa runtuhan jejambat pembinaan Lebuhraya Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE), Allahyarham Nor Hayati Abdullah, 42, selamat dikebumikan malam ini.
 
Jenazah Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Lubuk Pusing, Bagan Terap, Sungai Besar di sini, kira-kira pukul 10.30 malam.
 
Terdahulu, jenazah pekerja kilang elektronik yang dibawa dari Hospital Canselor Tunku Mukhriz (HCTM) Cheras tiba di Masjid Marzukiah pada pukul 9.45 malam untuk disembahyangkan.
 
Sementara itu, suasana pilu menyelubungi kawasan tanah perkuburan itu dengan kehadiran puluhan ahli keluarga dan saudara mara Allahyarham.
 
Kakak mangsa, Maslina Wati, 43, berkata keluarganya bersyukur proses pengurusan jenazah anak bongsu daripada lima beradik itu berjalan lancar.
 
“Alhamdulillah, semua urusan dipermudahkan Allah termasuk keputusan saringan arwah yang disahkan negatif Covid-19.
 
“Jenazah adik juga dikebumikan berdekatan pusara arwah kakak kami (Laila Hayati) yang meninggal dunia akibat kanser payu dara dua tahun lalu,” katanya ketika ditemui selepas pengebumian itu.
 
Tambah beliau, biarpun perit, dia sekeluarga hanya mampu pasrah dengan ketentuan Ilahi yang lebih menyayangi Allahyarham.
 
“Kami pasti merindui gelak tawa dan sikap peramahnya yang sentiasa menghiburkan keluarga terutama kanak-kanak,” katanya sebak.
  
Semalam, dua pekerja kilang maut manakala tiga termasuk pemandu van cedera dalam tragedi runtuhan berkenaan, pada pukul 5.58 petang.
 
Nor Hayati dilaporkan maut di lokasi kejadian bersama seorang lagi rakannya, Nuriana Edwin Abdullah, 47, selepas van kilang yang dinaiki dihempap runtuhan binaan ketika dalam perjalanan ke tempat kerja mereka di sekitar Subang. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya