Japas diaktifkan semula tangani ancaman akidah, ajaran sesat - Utusan Malaysia

Japas diaktifkan semula tangani ancaman akidah, ajaran sesat

ZULKIFLI MOHAMAD Al-BAKRI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Jawatankuasa Pemandu Menangani Ajaran Sesat Peringkat Kebangsaan (Japas) diaktifkan semula bagi menangani isu ancaman akidah dan ajaran sesat di seluruh negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, jawatankuasa itu akan dipengerusikan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Abdul Aziz Jusoh.

“Bagi memastikan segala tindakan dan gerak kerja menangani isu ancaman akidah dan ajaran sesat dapat berjalan dengan teratur serta berstrategi, saya telah mengarahkan Jakim supaya mengaktifkan kembali Japas.

“Ketua Pengarah Jakim akan mempengerusikan jawatankuasa ini yang turut dianggotai Jabatan Agama Islam Negeri serta agensi penguatkuasaan berkaitan sama ada peringkat negeri atau Persekutuan,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook semalam.

Beliau berkata, jawatankuasa itu akan bermesyuarat secara berkala untuk merangka tindakan bersepadu menangani isu-isu ancaman akidah secara efektif dan komprehensif.

Sebelum ini Zulkifli berkata, Jakim sentiasa bermuzakarah dengan pihak berkuasa agama negeri sebelum memfatwakan suatu ajaran itu sebagai sesat atau sebaliknya.

Beliau berkata, langkah itu penting untuk memastikan tindakan yang akan diambil adalah tepat dan tidak dianggap gopoh atau kekurangan maklumat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN