PUTRAJAYA: Pelbagai produk hasil reka bentuk semula daripada petugas Kementerian Kesihatan tahun lalu berjaya melonjakkan Malaysia dalam Indeks Inovasi Global (GII) 2020.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, kejayaan itu dicapai dalam situasi negara terpaksa bergelut sepanjang masa mendepani cabaran pandemik Covid-19.
“Kita masih berjaya mengharumkan nama Malaysia di peringkat antarabangsa dan pencapaian ini adalah satu bonus selain pengiktirafan kepada warga kerja Kementerian Kesihatan,” katanya ketika berucap pada pelancaran sambutan Hari Inovasi Kementerian Kesihatan 2020 di sini hari ini.
Yang hadir sama Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah dan Ketua Setiausaha kementerian itu, Datuk Mohd. Shafiq Abdullah.
Sebanyak 44 projek dalam empat kategori iaitu produk, proses, perkhidmatan dan teknologi dipertandingkan sebelum hanya tujuh disenarai pendek Jawatankuasa Pemandu Inovasi.
Mengulas lebih lanjut, Adham berkata, kepelbagaian inovasi termasuk dihasilkan kementerian itu telah memperbaiki kedudukan Malaysia kepada posisi ke-33 dalam senarai GII 2020. – UTUSAN ONLINE










