PETALING JAYA: Tenaga Nasional Berhad (TNB) menyarankan para pengguna menggunakan tenaga secara berhemah untuk masa depan yang lestari sempena sambutan Earth Hour sedunia.
Susulan itu, semua pengguna berperanan dalam usaha menyelamatkan bumi menerusi pengurangan jejak karbon dengan menggunakan peralatan elektrik yang cekap tenaga serta mengamalkan penggunaan elektrik yang bijak.
TNB dalam satu kenyataan memaklumkan, sebagai sebuah syarikat utiliti yang bertanggungjawab, mereka sentiasa berusaha menggunakan teknologi yang bersih dan mesra alam sekitar dalam penjanaan elektrik.
“Pelanggan boleh memperoleh lebih penjimatan dalam bil elektrik mereka dengan menggantikan lampu biasa kepada lampu LED yang lebih cekap tenaga.
“Di samping mengeringkan jemuran di bawah matahari, berbanding menggunakan pengering selepas mencuci pakaian serta langkah paling mudah untuk pengguna menjimatkan tenaga elektrik adalah mematikan lampu,” kata kenyataan itu.
Kata kenyataan tersebut, lebih penting adalah faktor gaya hidup mempunyai impak yang lebih besar terhadap pelepasan karbon.
“Kempen ini juga bertujuan menggalakkan individu, komuniti dan perniagaan mematikan lampu elektrik bukan penting selama satu jam, bermula 8:30 sehingga 9:30 malam pada Sabtu terakhir dalam bulan Mac,” katanya. – UTUSAN ONLINE









