PUTRAJAYA: Kerajaan tidak menggunakan Ordinan Darurat Kuasa-kuasa Perlu (No.2) 2021 sebagai senjata politik tetapi untuk menangani penyebaran berita palsu Covid-19 dan proklamasi darurat.
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah, berkata usaha menangani berita palsu adalah untuk melindungi rakyat daripada tertipu.
Katanya, penguatkuasaannya tiada kena mengena dengan pihaknya (Perikatan Nasional) mahu mempertahan atau melindungi kerajaan.
Kita tidak mahu rakyat tertipu hingga tidak mahu mendaftar dalam aplikasi MySejahtera atau pejabat kesihatan daerah (PKD), kerana terpengaruh dengan dakwaan kononnya vaksin dari China mengandungi benda-benda haram.
“Begitu juga dengan berita palsu kononnya vaksin dari negara lain pun tidak selamat dan yang paling terkesan adalah rakyat, bukan kerajaan. Jadi untuk melindungi rakyat daripada tertipu maka ordinan berkaitan berita tidak benar digubal,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar sempena Majlis Pelancaran Buku Menghormati Lambang-lambang Kebesaran Negara Dan Kad Laporan Setahun KKMM (Mac 2020 – Mac 2021) di sini hari ini.
Dalam perkembangan lain, Saifuddin juga menolak dakwaan kononnya Ahli Parlimen Kuala Langat, Datuk Dr. Xavier Jayakumar, melompat parti kerana menerima tekanan daripada kerajaan.
Katanya, dakwaan itu hanya mainan politik kerana kerajaan tidak pernah buat kerja macam itu dengan memaksa mana-mana Ahli Parlimen supaya menyokong PN.
“Kita memang mempelawa dan mengalu-alukan sesiapa sahaja untuk menyertai kerajaan malah Dr. Xavier tidak kata dia menyertai mana-mana parti tetapi hanya keluar dari PKR dan menyatakan sokongan terbuka kepada kerajaan PN.
“Itu adalah pendirian beliau dan saya hormatinya. Kita jangan terlalu tajam apabila membuat kenyataan kepada pemimpin politik lain kerana ada masanya kita berada dalam keadaan sama,” katanya.
Saifuddin berkata, apabila seseorang individu keluar parti dan masuk pembangkang, itu dianggap bagus dan manis.
“Namun apabila ada yang keluar dari parti pembangkang dan masuk parti kerajaan, ia tidak okay hinggakan gelaran digunakan terhadap ahli politik berkenaan adalah terlalu kuat.
“Dalam politik macam macam boleh berlaku. Sesiapa pun tidak perlu terlalu tajam mengkritik. Kalau rakyat nak undi atau menolak Ahli Parlimen itu pada pilih raya akan datang, terpulanglah tiada siapa boleh menghalangnya,” katanya.- UTUSAN ONLINE










