CAP bimbang sumber air negara semakin terjejas - Utusan Malaysia

CAP bimbang sumber air negara semakin terjejas

KEADAAN sebuah sungai yang tercemar dengan sampah sarap buangan manusia akan menyebabkan krisis air semakin memburuk sekiranya tidak dikawal. - IHSAN CAP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) bimbang dengan situasi terkini sumber air negara yang kini semakin terjejas akibat pencemaran dan ancaman kemusnahan ekoran pelbagai aktiviti manusia.

Presiden CAP, Mohideen Abdul Kader berkata, tinjauan CAP mendapati ancaman terhadap sumber air seperti kemusnahan kawasan tadahan akibat aktiviti pembalakan, pencemaran sungai dan laut oleh sisa buangan kilang, kumbahan, racun dan banyak lagi telah meningkat menyebabkan tahap kebersihan air amat membimbangkan.

Oleh itu katanya, sempena sambutan Hari Air Sedunia esok yang bertemakan ‘Menghargai Air’, CAP berharap semua pihak berganding bahu ke arah memulihkan dan memelihara sumber air yang semakin serius terjejas sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

“Pada masa yang sama CAP menyeru orang ramai menghargai air dalam kehidupan mereka dengan mengamalkan sikap berjimat cermat tanpa melakukan pembaziran,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Mohideen, kejadian penyusutan takungan air di beberapa buah empangan seperti di Empangan Muda di Kedah dan pencemaran sungai di Selangor dan Sungai Kim Kim, Johor sudah cukup membuktikan kesan amat buruk telah berlaku ke atas kualiti air dan kehidupan penduduk di kawasan berkenaan.

“Kualiti air di Tasik Timah Tasoh di Perlis dan Tasik Chini di Pahang turut terjejas akibat pencemaran alam sekitar yang berlaku.

“Air laut di perairan negara pula telah tercemar oleh pelbagai bahan buangan termasuk sisa minyak kapal-kapal dagang seperti yang berlaku di Port Dickson, Negeri Sembilan menyebabkan hidupan laut terancam dan sumber pendapatan nelayan teruk terjejas.

“Selain itu di Kedah, berpuluh ribu penduduk merungut dan bimbang kesihatan mereka terjejas kerana bekalan air paip bukan saja berkurangan tetapi juga kotor serta berkeladak,” katanya.

Mohideen berkata, bagi memelihara sumber air negara CAP menggesa Kementerian Alam Sekitar dan Air dan kerajaan-kerajaan negeri mempertingkatkan usaha serta menambah baik pengurusan air bagi keperluan rakyat di negara ini.

Katanya, undang-undang berkaitan air perlu dikaji semula bersesuaian dengan keadaan masa kini.

Jelas beliau, pihak yang melakukan kesalahan menjejaskan sumber air harus dikenakan hukuman lebih berat setimpal dengan kesalahan yang dilakukan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya