Bersyukur 2 masjid diiktiraf terbaik di Malaysia - Utusan Malaysia

Bersyukur 2 masjid diiktiraf terbaik di Malaysia

MASJID Abdullah Fahim yang meraih anugerah terbaik Standard Penarafan Masjid Malaysia (SPMM) kategori pengimarahan inovatif. - Gambar FB REEZAL MARICAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican hari ini menzahirkan rasa kesyukuran kerana dua buah masjid di kawasannya antara terbaik di Malaysia.

Menerusi hantaran akaun sosial Facebook dirinya, Ahli Parlimen Kepala Batas itu menyifatkan pengiktirahan peringkat nasional itu akan menjadi pemangkin institusi masjid terus diperkasa.

“Alhamdulillah! Syukur ke hadrat Allah Taala. Saya amat berbangga melihat kedua-dua masjid di Kepala Batas ini dalam senarai pemenang. Tahniah kepada semua ahli jawatan kuasanya.

“Juga (setiap) ahli kariah yang sentiasa menjadikan masjid itu sebagai sebuah institusi untuk manfaat masyarakat. Pengiktirafan ini juga diharapkan akan menjadi pemangkin dan qudwah.

“Tahniah warga Kepala Batas, Moga-moga segala kebaikan yang ada itu (bakal) menjadi asbab kejayaan kita bersama,” katanya sambil diakhiri dengan slogan ‘Kepala Batas Di Hatiku’.

Dua buah masjid itu dipilih mewakili Pulau Pinang untuk memenangi Anugerah Masjid Malaysia 2020 anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan stesen penyiaran TV AlHijrah.

Hadiah disampaikan oleh Ketua Pengarah Jakim, Datuk Abdul Aziz Jusoh dan program julung kali itu dirasmikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Masjid Abdullah Fahim malah meraih anugerah terbaik Standard Penarafan Masjid Malaysia (SPMM) kategori pengimarahan inovatif dengan hadiah wang tunai RM20,000, plak dan sijil.

Sementara Masjid Al-Jamiul Badawi pula antara 14 buah masjid yang mewakili setiap negeri masing-masing untuk Anugerah SPMM dengan membawa pulang RM10,000, trofi dan sijil.

Lebih unik, kedua-dua masjid itu hanya terletak hanya lima kilometer di Kepala Batas dan kebetulan dinamakan bersempena nama keluarga bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Badawi.

Bagi penduduk tempatan, Abdullah Fahim merupakan ulama terkenal dan mufti pertama Pulau Pinang sebelum negara ini bebas daripada penjajahan British serta datuk Abdullah sendiri.

Dilahirkan di Makkah dan juga tokoh falak ternama tanah air, beliau turut menasihati Tunku Abdul Rahman untuk menetapkan 31 Ogos 1957 sebagai tarikh bagi kemerdekaan negara ini.

Ia berdasarkan kehebatan tafsiran ilmu cakerawala beliau yang mendapati susunan bintang di langit menyerupai imej kapal layar Parti Perikatan dan dacing kepada logo Barisan Nasional.

Nama beliau turut diabadikan sebagai nama untuk Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Syeikh Abdullah Fahim di Nibong Tebal yang berasaskan kepada model tahfiz Ulul Al-Bab.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya