KOTA TINGGI: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor akan memastikan Tan Sri Muhyiddin Yassin terus bertanding mempertahankan kerusi Parlimen Pagoh yang disandangnya pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Ketua Penerangan Bersatu Johor, Mohd. Solihan Badri berkata, kerusi tersebut merupakan antara kawasan utama Bersatu di negeri ini, lebih-lebih lagi ia dimiliki Perdana Menteri.
Justeru, katanya, parti tidak akan memberikan laluan mudah sekiranya Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhasrat bertanding di kerusi itu pada PRU-15.
“Kita akan pertahankan kerusi Parlimen Pagoh dan kita akan habis-habisan untuk mempertahankannya. Ini biasa (Anwar menyebut untuk bertanding di Parlimen Pagoh), orang politik kena ada cita-cita dan kena ada strategi.
“Kita pun ada strategi juga,” katanya mengulas kenyataan Ahli Parlimen Port Dickson itu yang memberitahu pilihan kerusi Parlimen mana yang akan ditandingi pada PRU-15 termasuk di Pagoh.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas melawat Tapak Projek Pembinaan Directional Ramp Persimpangan Lebuhraya Senai–Desaru (SDE) di Plaza Tol Bandar Penawar, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Solihan berkata, Bersatu Johor bukan sekadar mahu mempertahankan kerusi Parlimen Pagoh, malah memberi bayangan akan bertanding di 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri ini.
“Bersatu Johor bukan sahaja mempertahankan kerusi DUN dimenangi mereka sebelum ini tetapi akan turut meletakkan calon di kerusi milik Pakatan Harahan (PH) di Johor.
“Bukan sahaja PKR tetapi kita akan turut bertanding di kawasan DAP dan kerusi-kerusi milik PH yang lain pada PRU-15,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tenang.-UTUSAN ONLINE










