PUTRAJAYA: Penutupan pintu sempadan dalam usaha mengekang penularan Covid-19 bukan hanya menjejaskan sektor pelancongan, malah menutup peluang pihak tertentu untuk mendirikan rumah tangga terutama melibatkan pasangan warga asing.
Memberitahu kepada Utusan Malaysia, seorang wanita yang mahu dikenali Imtias Ahmad, 38, berkata, dia masih ternanti-nanti untuk berkahwin dengan seorang warganegara India memandangkan keadaan pandemik Covid-19 tidak akan berakhir dalam waktu terdekat.
“Kami telah bersabar lebih setahun sejak sempadan ditutup, kesabaran kami diuji apabila masalah kami tidak didengari langsung malah dianggap tidak penting oleh kerajaan.
“Kami sedia maklum tentang segala peraturan dan cara-cara berurusan dengan kerajaan untuk membuat permohonan kemasukan warga asing, kebanyakan permohonan ditolak oleh Jabatan Imigresen dengan alasan perkahwinan dikategorikan sebagai non-essential matters/business,” katanya di sini semalam.
Imtias antara kira-kira 4,200 individu lain yang mengalami nasib sama apabila impian mereka untuk ke jenjang pelamin terhalang kerana kekangan peraturan kerajaan itu.
Permasalahan itu dibangkitkan menerusi satu kumpulan Facebook tertutup dikenali ‘Love is not Tourism’ bagi membantu sesama mereka mencari jalan penyelesaian.
Imtias yang berasal dari Pulau Pinang berkata, yang mengejutkan, dia difahamkan ada banyak permohonan serupa diberi kelulusan oleh Imigresen malah datang dari negara yang disekat kemasukkannya.
“Kami juga dimaklumkan keputusan yang diberikan tertakluk kepada budi bicara pegawai yang bertugas dan adakah sistem budi bicara ini dianggap telus, wajar dan memberi keadilan,” katanya.
Dalam pada itu, seorang lagi individu yang mengalami nasib sama, Mikaela yang dua kali tertangguh untuk berkahwin dengan tunangnya seorang warga India, pula mempersoalkan perbezaan kemasukan pekerja asing dengan pasangan bukan warganegara atas tujuan berkahwin.
“Jika pekerja asing boleh dibenarkan masuk, mengapa kebenaran sama tidak diberikan atas tujuan berkahwin,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE