KUBANG PASU: Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) terus menyumbangkan ayam dan daging sejuk beku yang dirampas kepada Zoo Negara untuk dijadikan hidangan kepada haiwan-haiwan peliharaan.
Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee berkata, kesemua barangan itu diserahkan setelah selesai kes mahkamah dan keperluan perundangan lain.
Katanya, langkah itu diharap mampu meringankan beban ditanggung pihak terlibat terutama dalam menyediakan bekalan makanan haiwan-haiwan di zoo berkenaan.
“Sebelum ini kita sudah membuat empat kali penghantaran ke Zoo Negara dengan yang terakhir adalah ayam sejuk beku seludup yang dilucutkan hak bernilai RM400,000 pada 7 Mac lalu.
“Selepas ini kita terus laksanakan pelupusan melalui kaedah sedemikian,” katanya dalam sidang akhbar selepas lawatan kerja sulung ke pejabat Maqis di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS), Bukit Kayu Hitam, dekat sini, hari ini.
Ronald Kiandee berkata, sehingga kini masih terdapat kira-kira 240 tan metrik ayam dan daging sejuk beku bernilai RM1.6 juta yang dirampas berada dalam simpanan Maqis sementara menanti kes di mahkamah selesai.
“Selain Zoo Negara, kita mungkin menghantar ke zoo-zoo lain yang memerlukannya,” katanya. – UTUSAN ONLINE