PETALING JAYA: Empat lagi ahli Parlimen PKR didakwa menerima pelawaan supaya memberik sokongan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Keempat-empat mereka adalah Ahli Parlimen Padang Serai, M Karupaiya; Ahli Parlimen Sungai Siput, S. Kesavan; Ahli Parlimen Putatan, Awang Husaini dan Ahli Parlimen Miri, Michael Teo Yu Leong.
Ahli Parlimen Sekijang, Natrah Ismail pula telah membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuan Malaysia (SPRM) susulan dakwaan cubaan mendapatkan sokongan beliau.
Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, masih terdapat usaha mendapatkan sokongan daripada ahli-ahli Parlimen PKR dan mendakwa ada dalam kalangan mereka yang menerima ‘ugutan’ supaya berbuat demikian.
“Walaupun setelah cuba untuk membeli tiga atau empat ahli Parlimen parti kami, mereka masih lagi tidak mempunyai majoriti.
“Selain Natrah, beberapa ahli Parlimen lain juga turut menerima pelawaan dan ada juga yang menerima ugutan kecuali jika mereka beralih memberikan sokongan kepada kerajaan itu,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE